413 PATI gagal bolos Selat Melaka

Vincent (dua dari kanan) bersama pegawainya di Kapal Maritim Pekan ketika diberikan taklimat oleh pegawainya berkaitan perjalanan Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
Vincent (dua dari kanan) bersama pegawainya di Kapal Maritim Pekan ketika diberikan taklimat oleh pegawainya berkaitan perjalanan Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
A
A
A

KLANG - Sebanyak 51 cubaan menyeludup masuk 413 pendatang asing tanpa izin (PATI) dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi beberapa siri operasi di kawasan perairan Selat Melaka sepanjang tahun ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim, R Vincent berkata, statistik berkenaan dicatatkan bermula sejak Januari sehingga November ini.

"Penguatkuasaan dijalankan di sepanjang Selat Melaka telah menumpaskan sebanyak 51 cubaan membawa masuk PATI ke negara ini menerusi perairan negara.

"Sebanyak 413 individu terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak turut ditahan selepas didapati cuba memasuki negara ini secara tidak sah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar berkaitan Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di Kapal Maritim (KM) Pekan di perairan Klang dekat sini pada Selasa.

Beliau berkata, komitmen tinggi yang dilaksanakan Maritim Malaysia antara faktor perairan negara ini sukar dibolosi dengan mana-mana jenayah maritim.

"Maritim Malaysia sentiasa memastikan zon maritim negara sentiasa bebas dari aktiviti seperti kemasukan PATI atau mana-mana pihak melalui jalan laut secara haram.

Aset Maritim Malaysia sentiasa dipastikan berada pada tahap terbaik bagi memastikan tugasan dijalankan dengan berkesan.
Aset Maritim Malaysia sentiasa dipastikan berada pada tahap terbaik bagi memastikan tugasan dijalankan dengan berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, menerusi kekerapan rondaan dijalankan kita berjaya mencegah sebarang ancaman jenayah dan aktiviti salah laku maritim seperti rompakan, pencerobohan bot nelayan asing, penyedupan barangan kontraban," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menjalankan latihan berbentuk operasi dan rondaan di laut bagi mengukur kesiapsiagaan dan keupayaan aset-aset Maritim Malaysia.

"Latihan berbentuk operasi dijalankan dengan melibatkan aset-aset Maritim Malaysia yang sentiasa dipastikan dalam keadaan terbaik untuk melaksanakan tugasan.

"Selain itu, rondaan turut dipertingkatkan bagi memastikan kesiagaan dan keupayaan aset-aset Maritim Malaysia dalam melakukan tugasan yang diberikan," katanya.

Mengulas mengenai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023, beliau berkata, latihan itu bermula 26 November lalu di Klang, Selangor dan akan berakhir di Pulau Langkawi pada 3 Disember nanti.

"Eksesais ini akan melalui perairan Selat Melaka sepanjang 630 batu nautika melibatkan hampir 500 orang pegawai dan anggota.

"Pelbagai aset Maritim Malaysia turut dilibatkan sepanjang eksesais ini dengan kekuatan sebanyak 15 buah kapal terdiri daripada Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV), Kapal Peronda Generasi Baharu (NGPC) dan dua buah helikopter," katanya.

Antara aset milik Maritim Malaysia yang digerakkan dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.
Antara aset milik Maritim Malaysia yang digerakkan dalam Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023.

Jelas beliau, Eksesais Maritim Perkasa Barat ini bakal menjalani tiga fasa latihan bermula dengan Fasa Pelabuhan iaitu sesi taklimat siri latihan yang telah dilaksanakan pada 26 dan 27 November lalu.

"Selepas fasa berkenaan, pegawai dan anggota akan melalui fasa kedua iaitu Fasa Laut di mana pada peringkat ini aset-aset agensi melakukan pelayaran dari Perairan Klang ke Pulau Langkawi bermula 28 November hingga 1 Disember 2023.

"Fasa terakhir merupakan Fasa Penutup Eksesais melibatkan Exercise

Debrief (PXD) bagi melihat pencapaian dan penambahbaikan eksesais akan datang di Pejabat Maritim Kedah dan Perlis di Pulau Langkawi pada 2 dan 3 Disember 2023," katanya.