Suspek khianat, bakar kereta ditahan polis

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

IPOH - Polis menahan dua lelaki dipercayai suspek bagi kes khianat dan bakar kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 di sebuah rumah di Taman Badrishah di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 27 dan 44 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Besar Chemor sekitar jam 6.30 petang pada Ahad.

"Kedua-dua suspek ditangkap bersangkut satu kes khianat dengan api di kawasan Lahat yang disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

"Sebuah kereta jenis Proton Saga BLM, telefon bimbit dan pakaian telah dirampas daripada suspek terlibat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, suspek yang mengambil upah daripada sindiket along turut positif dadah jenis methamphetamine menerusi ujian saringan air kencing.

"Semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik itu memperoleh pekerjaan terbabit menerusi iklan di aplikasi Facebook.

"Kedua-dua suspek mengakui tidak mengenali individu yang mengupah ekoran mereka berhubung menerusi mesej WhatsApp," katanya.

Yahaya berkata, dengan penahanan itu, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya empat kes khianat dengan api dan baling cat di sekitar Ipoh hingga mendatangkan ketakutan kepada komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek direman selama tiga hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.

"Kertas siasatan kini sedang dilengkap sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," katanya.

Media melaporkan sebuah SUV terbabit musnah angkara khianat dalam kejadian pada jam 4.51 pagi, Sabtu lalu.

Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mendapati kenderaan yang berada di dalam garaj sebuah rumah, terbakar 30 peratus.

Bahagian hadapan rumah terlibat turut terbakar kira-kira lima peratus namun kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan pada mangsa.