Proton X50 terbakar, dipercayai angkara khianat

Keadaan kenderaan yang terbakar 30 peratus pada bahagian hadapan dalam satu kejadian di Taman Badrishah pada Sabtu. - Foto JBPM Perak
Keadaan kenderaan yang terbakar 30 peratus pada bahagian hadapan dalam satu kejadian di Taman Badrishah pada Sabtu. - Foto JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) musnah terbakar, dipercayai angkara khianat dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Badrishah, di sini, awal pagi Sabtu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 4.51 pagi.

Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh yang tiba tiga minit kemudian mendapati sebuah kereta jenis Proton X50 di dalam garaj sebuah rumah, terbakar 30 peratus pada bahagian hadapan.

“Bahagian hadapan rumah tersebut juga terbakar kira-kira lima peratus tetapi tidak melibatkan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, pihak bomba tidak menolak kemungkinan berlaku unsur-unsur khianat pada kebakaran tersebut.

Katanya, pasukan mengaplikasikan konsep RECEO (menyelamat, pendedahan, penyekatan, pemadaman dan pemeriksaan), seterusnya memadam kebakaran menggunakan satu saluran bantu mula dengan sumber air dari jentera bomba sehingga kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Azmil Kamaruddin tamat jam 5.54 pagi. - Awani

Artikel Berkaitan: