Imbuhan buat penjawat awam negeri diumum selepas PRK Kemaman

Ahmad Samsuri - Foto: Bernama
Ahmad Samsuri - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu akan mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri itu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman selesai.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu diambil bagi mengelak daripada timbul sebarang isu kelak, memandangkan perang kempen PRK sedang rancak berjalan ketika ini.

Tanpa memperincikan jumlah pemberian berkenaan, Ahmad Samsuri yang juga calon Pas bagi PRK Parlimen Kemaman membayangkan ada sedikit kenaikan berbanding jumlah yang diumumkan pada tahun lepas iaitu RM900.

"Insya-ALLAH kita akan umum selepas selesai PRK Kemaman... jumlah naik sikit daripada dulu," katanya kepada pemberita selepas selesai membentangkan Belanjawan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman pada Isnin.

Sebelum ini beberapa negeri telah mengumumkan pemberian bantuan khas kepada kakitangan awam negeri antaranya Pulau Pinang sebanyak setengah bulan gaji, Johor (dua bulan gaji), Selangor (dua bulan setengah gaji) dan Kedah serta Sabah masing-masing sebanyak RM2,000.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Ahmad Samsuri dan calon Barisan Nasional Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan Sabtu ini bagi hari mengundi untuk PRK itu yang diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!