Penjawat awam Sabah terima RM2,000 bantuan khas

Masidi ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2024 di DUN Sabah.
Masidi ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sabah 2024 di DUN Sabah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah bakal memberikan bantuan khas sebanyak RM2,000 kepada semua penjawat awam di negeri ini menerusi Belanjawan Negeri Sabah 2024 yang dibentangkan pada Jumaat.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan amat menghargai komitmen dan usaha penjawat awam dalam menggalas tugas yang telah diamanahkan demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, menurut Masidi, kerajaan negeri ingin membawa khabar gembira kepada semua penjawat awam negeri khususnya kepada kumpulan perkhidmatan sokongan yang menjadi penggerak utama jentera pentadbiran kerajaan.

"Seperti yang diumumkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan bantuan khas kewangan itu kepada semua penjawat awam negeri termasuk penjawat awam sementara, kontrak dan pekerja sambilan harian.

"Bayaran khas kewangan ini akan dibayar secara dua kali iaitu RM1,000 dibayar pada bulan Januari 2024 dan RM1,000 lagi dibayar menjelang Hari Raya Aidilfitri 2024," katanya ketika membentang belanjawan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini.

Sehubungan itu, Masidi berharap insentif itu akan memberi suntikan semangat kepada penjawat awam negeri untuk terus bersemangat dan berusaha dengan lebih gigih lagi demi meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat.

Sebelum itu, dalam pembentangan belanjawan tersebut, Masidi berkata, kerajaan negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan perbekalan sebanyak RM5.701 bilion dengan anggaran hasil negeri sebanyak RM5.737 bilion.

"Ini bermakna, Belanjawan 2024 merupakan satu Belanjawan Lebihan (Surplus Budget) sebanyak RM35.87 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!