Aksi Malaysia-Australia diawalkan, beri laluan final Piala Malaysia

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PENGANJUR Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 terpaksa meminda jadual perlawanan yang melibatkan skuad kebangsaan, bagi memberi laluan kepada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 8 Disember ini.

Perubahan itu menyaksikan skuad bimbingan Muhamad Amin Rahim yang dijadual bertemu Australia pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini pada pukul 8 malam, terpaksa bermain lebih awal iaitu pada pukul 2 petang.

Pengurus kejohanan Brian Gerard Fernandez berkata, perubahan itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dipersetujui Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

"Kami ada dua perlawanan pada 6 petang dan 8 malam, yang tentunya bertembung dengan Piala Malaysia, jadi kami telah mengubah perlawanan tersebut kepada 12 tengah hari dan 2 petang, diharapkan pada 5 petang kami akan dapat kosongkan kawasan ini.

"Disebabkan kami telah melihat bagaimana keadaannya ketika kelayakan (Piala Dunia) jadi ia penuh di sini, jadi kami tidak boleh untuk mempunyai pasukan datang tidak mengikut jadual, ini Piala Dunia, kami perlu mereka untuk sampai ikut masa,” katanya pada sidang media di sini.

Selain perlawanan Malaysia dan Australia, pertembungan antara Argentina dan Chile yang sepatutnya berlangsung pada pukul 6 petang, diawalkan ke pukul 12 tengah hari manakala aksi pada sebelah pagi melibatkan Kumpulan B, Afrika Selatan menentang Perancis pukul 8 pagi dan Jerman bertemu Mesir pukul 10 pagi.

Malaysia akan bertemu Chile pada 5 Disember dan Argentina pada 6 Disember.

Final Piala Malaysia mempertemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengerusi kejohanan, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, tahap persiapan telah mencapai 95 peratus, dan akan sedia sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga hari lagi.

Pada masa sama, beliau berharap kemasukan percuma sepanjang kejohanan digunakan sepenuhnya oleh peminat hoki tempatan, untuk memberikan sokongan kepada pasukan negara di stadium.

Dalam pada itu, beliau berkata, Chile menjadi negara pertama yang tiba Sabtu lepas dan dijangka kesemua 16 pasukan akan tiba sebelum 3 Dis, bagi mengharungi kejohanan berprestij itu bermula 5 hingga 16 Disember. - Bernama