Kereta dipijak selepas langgar anak gajah

Kereta Perodua Axia yang dinaiki tiga sekeluarga mengalami kerosakan teruk selepas dipijak sekumpulan gajah di Jalan Gerik - Jeli pada Ahad. - Foto ihsan PDRM
Kereta Perodua Axia yang dinaiki tiga sekeluarga mengalami kerosakan teruk selepas dipijak sekumpulan gajah di Jalan Gerik - Jeli pada Ahad. - Foto ihsan PDRM
A
A
A

GERIK - Tiga sekeluarga berdepan detik cemas diserang sekumpulan enam ekor gajah selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli sebelum Hentian Rehat Titiwangsa di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, dalam kejadian jam 7.35 petang itu, kereta Perodua Axia yang dipandu lelaki berusia 48 tahun bersama dua penumpang berusia 47 dan 23 tahun dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Jerteh, Terengganu.

"Ketika melalui satu selekoh, pemandu ternampak sekumpulan gajah berada di lorong menghala ke Jeli, Kelantan dan telah terlanggar seekor anak gajah.

"Disebabkan itu, kumpulan gajah tersebut menghampiri dan memijak kereta mangsa menyebabkan kerosakan teruk di bahagian sisi kiri, bonet dan but," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurut beliau, serangan itu terhenti apabila anak gajah tersebut bangun dan beredar dari lokasi kejadian.

"Waktu kejadian cuaca hujan renyai dan berkabus. Bagaimanapun, pemandu dan dua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis menasihatkan kepada pengguna jalan raya JRTB agar lebih berhati-hati memandu ketika melalui laluan itu kerana terdapat haiwan liar melintas," katanya.

Artikel Berkaitan: