Semua harta milik kita akan dihisab

SETIAP nikmat yang kita ada akan dihisab dan dipersoal termasuk segala pakaian, makanan hatta ilmu pengetahuan yang akan ditanya ke mana amalannya. -Gambar hiasan
SETIAP nikmat yang kita ada akan dihisab dan dipersoal termasuk segala pakaian, makanan hatta ilmu pengetahuan yang akan ditanya ke mana amalannya. -Gambar hiasan
A
A
A

WALAUPUN sudah hampir dua minggu bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad meninggal dunia, namun sisi kebaikannya senantiasa menjadi sebutan.

Lebih memilukan apabila dikhabarkan apabila arwah meninggalkan ‘harta’ tujuh pasang baju dan selipar sahaja.

Demikianlah yang dikongsikan balu kepada Allahyarham Suhaimi, Nurdiana Mohd Naim atau mesra disapa Ina Naim kepada pemilik akaun Facebook Ryhan Musa ketika menziarahinya di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor baru-baru ini.

Pernyataan itu membuatkan ramai warganet seakan tersentak dan terpukul. Masakan tidak, dalam rumah masing-masing punyalah banyak pakaian sehingga tidak terhitung jumlahnya.

Itu belum lagi dengan baju pasangan, anak-anak, perabot mahupun perkakasan rumah hinggakan tidak muat stor untuk menyimpannya. Tambah menyedihkan, ada barang yang langsung masih belum ‘berusik’ kotak ataupun plastiknya walaupun sudah lama disimpan.

Andai mahu disenaraikan satu persatu, percayalah pasti menimbun ‘simpanan’ tersebut tanpa kita sedar.

SEGALA apa yang berkaitan dengan kepemilikan kita akan dipersoal ke mana ia digunakan. -Gambar hiasan
SEGALA apa yang berkaitan dengan kepemilikan kita akan dipersoal ke mana ia digunakan. -Gambar hiasan

Artikel Berkaitan:

Mengertilah, semua yang kita ada akan dihisab pada hari akhirat kelak.

Menerusi perkongsian di laman sosial Facebook QuranHour, ketahuilah bahawa apa yang kita pakai dan sedekahkan sebenarnya itulah yang bermanfaat.

“Sebaliknya (barang) yang hanya jadi simpanan atau koleksi-koleksi yang tidak dipakai kelak akan dihisab. (Inilah) Yang akan menyusahkan diri kita sendiri.

“Ini kerana semua yang dibeli berawal daripada nafsu. Mengertilah, nafsu ingin mempunyai ini dan itu serta lihat orang punya, teringin hendak beli juga walaupun tak berguna bagi diri kita. Astaghfirullahal ‘azim,” katanya.

Sebelum menyimpan itu dan ini itu, sebaiknya renungkanlah nas yang ada dalam al-Quran dan hadis.

Antaranya ALLAH SWT berfirman: “Dan dermakanlah (hartamu) di jalan ALLAH, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan dengan tangan sendiri, dan berbuat baiklah. Sesungguhnya, ALLAH menyukai orang yang beramal soleh.” (Surah al-Baqarah, ayat 195)

SETIAP nikmat yang dikurniakan kepada kita dan apa sahaja yang kita miliki akan dihisab pada hari perhitungan kelak. -Gambar hiasan
SETIAP nikmat yang dikurniakan kepada kita dan apa sahaja yang kita miliki akan dihisab pada hari perhitungan kelak. -Gambar hiasan

Dalam al-Quran, ALLAH SWT berfirman: “(Ingatlah) pada hari ketika emas dan perak dipanaskan di dalam neraka jahanam, lalu dengan itu diselar dengan dahi, perut dan punggung mereka (sambil dikatakan) kepada mereka, “Inilah harta bendamu yang kamu simpan, maka rasakanlah (akibat daripada) apa yang kamu simpan itu.” (Surah at-Taubah, ayat 35)

Fakta sama turut dikongsikan oleh pendakwah Ustaz Ahmad Syamil Mohd Esa.

Menerusi laman web isma.org.my, beliau yang juga Setiausaha Agung Majlis Ulama ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia) menjelaskan, setiap nikmat yang kita ada akan dihisab dan dipersoal termasuk segala pakaian, makanan hatta ilmu pengetahuan yang akan ditanya ke mana amalannya.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Kemudian kamu akan ditanya mengenai nikmat-nikmat (dikurniakan).” (Surah at-Takathur, ayat 8)

Melihat ungkapan tersebut, Ustaz Syamil berkata, segala apa yang berkaitan dengan kepemilikan kita akan dipersoal ke mana ia digunakan.

USTAZ AHMAD SYAMIL
USTAZ AHMAD SYAMIL

“Ya, tidak salah untuk membeli pakaian baharu atau menyimpan barang-barang tertentu. Ia juga sebahagian daripada perkara yang halal, diizinkan syariat.

“Begitupun, dalam berbelanja dan mengumpul harta benda serta aset, ia perlu diseimbangkan dengan komitmen kita di dunia dan akhirat,” titipnya.