Pelan Pembangunan Kedah 2035 lonjak kemajuan daerah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kanan) berbual dengan Exco Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Datuk Siti Aishah Ghazali (kiri) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Isnin.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kanan) berbual dengan Exco Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan, Datuk Siti Aishah Ghazali (kiri) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan melaksanakan Pelan Pembangunan Kedah 2035 bagi memastikan kemajuan di setiap daerah dapat dilonjakkan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia memandangkan kerajaan negeri sedar berlakunya ketidakseimbangan pembangunan antara daerah-daerah di Kedah.

Beliau berkata, Pelan Pembangunan Kedah 2035 akan menetapkan identiti mengikut kekuatan dan potensi masing-masing di setiap daerah.

"Dalam konteks daerah Baling yang merupakan antara daerah termiskin di Kedah, pelan itu menetapkan identiti Baling sebagai sebuah daerah Pelancongan Eko dengan mengambil kira hutan sebagai guna tanah terbesar yang kaya dan berpotensi untuk dibangunkan produk-produk pelancongan berasaskan semulajadi.

"Dalam hal ini, kerajaan negeri merancang untuk memperkasa produk-produk pelancongan bersifat pelancongan eko di dalam daerah Baling," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata sedemikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Datuk Najmi Ahmad (Pas-Kupang) tentang rancangan kerajaan untuk menjadikan daerah mundur seperti Baling dapat dilonjak supaya setanding dengan daerah-daerah lain.

Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri terus memberi perhatian pada kawasan pelancongan eko di Baling seperti Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong, kawasan perkelahan Air Terjun Lata Hijau dan Lata Bayu serta Gunung Baling.

"Kajian Pelan Pembangunan Pelancongan Rangkaian Gua di Gunung Pulai melibatkan Gua Sireh, Gua Badak, Gua Landak dan Gua Air di Bukit Wang, Baling yang dilaksanakan oleh PLANMalaysia@Kedah adalah salah satu usaha untuk mempelbagaikan dan menambah nilai produk pelancongan eko ini yang telah mula mendapatkan perhatian pelancong," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi memaklumkan, selain daripada tumpuan kepada sektor pelancongan eko, sektor pembuatan juga diberi perhatian khususnya di kawasan Kuala Ketil serta Kupang seperti yang diperincikan dalam Rancangan Struktur Negeri Kedah 2035.

"Kuala Ketil ditetapkan sebagai Kluster Industri Pembuatan dan Perkhidmatan Dan Kluster Industri Tenaga Boleh Diperbaharui manakala mukim Kupang ditetapkan sebagai hab syarikat kecil dan mudah (PKS)," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menambah, Pembangunan Pusat Ekonomi dan Komuniti Bersepadu (iCON) di Baling oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) juga dilihat dapat membantu mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan landasan kepada usahawan dan komuniti luar bandar dengan pasaran di bandar lebih luas.

Ujar Muhammad Sanusi, Projek iCON Baling yang dijangka siap pada Januari 2025 bakal memanfaatkan pengusaha kecil dan sederhana dan meningkatkan nilai produk tempatan serta menjadi kawasan tarikan baharu di Baling.

"Daerah Baling turut dijangka mendapat limpahan ekonomi melalui kewujudan kawasan perbandaran yang baharu khususnya di Kuala Ketil, hasil daripada pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi seperti Pembangunan Kedah Aerotropolis di Sidam Kiri dan Lebuhraya Koridor Utara (NCH) menerusi jajaran serta pembangunan interchange berhampiran.

"Selain itu, Projek Pembinaan Rancangan Tebatan Banjir Baling Fasa 2 yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan di dalam Belanjawan 2024 adalah projek infrastruktur penting yang dirancang untuk membantu mengurangkan beban ekonomi penduduk tempatan yang terjejas akibat banjir,"katanya.

Tambah beliau, Kementerian Ekonomi dan NCIA dengan kerjasama kerajaan negeri telah melaksanakan program pembasmian kemiskinan tegar keluarga Malaysia (BMTKM) ketika ini melibatkan tujuh peserta manakala 68 orang peserta telah disenarai pendek untuk Program Inisiatif pendapatan Rakyat (IPR) dalam usaha untuk meningkatkan pendapatan penduduk Baling.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi menegaskan, Kedah akan terus komited untuk memastikan keseimbangan pembangunan di setiap daerah dapat dicapai berdasarkan kerangka disediakan dalam Pelan Pembangunan Kedah 2035 menerusi identiti daerah ditetapkan mengikut kekuatan dan potensi masing-masing.

Kata beliau, tumpuan samarata akan diberikan oleh kerajaan negeri melalui strategi dan inisiatif yang bersesuaian.