DUN Melaka sedekah al-Fatihah, tafakur ingati syuhada Palestin

DUN Melaka - Foto Bernama
DUN Melaka - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini menyedekahkan Surah Al-Fatihah dan bertafakur sebentar bagi mengingati syuhada yang terbunuh dalam konflik di Palestin.

Speaker DUN Melaka, Datuk Ibrahim Durum dalam ucapannya turut berharap gencatan senjata yang sedang berlangsung di bumi bergolak itu akan diteruskan bagi menghentikan pertumpahan darah.

"Kepada muslimin dan muslimat, marilah membaca Ummul Kitab Al Fatihah...

"Kita sedekahkan kepada ibu bapa kita, sanak saudara kita, sahabat handai kita, dan yang paling penting adalah ahli-ahli syuhada di bumi Palestin, sambil berharap dan berdoa agar gencatan senjata yang sedang berjalan sekarang dapat dikekalkan,” katanya.

Kerajaan Israel dan Hamas pada Rabu lepas bersetuju untuk mengadakan genjatan senjata selama empat hari dengan Qatar sebagai pengantara.

Mengikut perjanjian itu, Hamas bersetuju untuk membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak warga Israel yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran bagi 150 tahanan Palestin di penjara Israel.

Perjanjian itu juga termasuk menghentikan semua operasi ketenteraan selama empat hari dan membenarkan 300 trak bantuan kemanusiaan, perubatan dan minyak masuk ke Semenanjung Gaza. - Bernama

Artikel Berkaitan: