'Berkat tunjuk ajar arwah Tok Guru Nik Aziz'

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Konsep bertoleransi antara kaum yang diterapkan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepanjang lebih 20 tahun mentadbir Kelantan masih kukuh sehingga kini.

Berada sebumbung di dalam satu majlis yang terpapar pada kain rentang tulisan jawi tidak pernah menimbulkan masalah buat orang Cina, India mahupun Siam di Kelantan.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, itulah keistimewaan hidup di Kelantan dan perkara sebegitu tidak menjadi sesuatu yang pelik kerana ia sudah dilalui sejak hampir 30 tahun lalu lagi dan masih segar.

“Arwah Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dahulu selama lebih 20 tahun menjadi menteri besar menanamkan sikap saling hormat-menghormati dari awal lagi.

“Tok Guru (Nik Aziz) menyatakan semua kaum dicipta oleh Tuhan adalah untuk hidup dalam keadaan aman harmoni dan kenal mengenali antara satu sama lain.

“Inilah konsep ditanam Kelantan dan dari segi kebebasan beragama ditunjukkan sebenar-benarnya oleh kerajaan kita dengan membenarkan semua agama membina rumah ibadat masing mengikut kehendak mereka,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, pelaksanaan tulisan jawi di papan tanda yang turut memberikan kelonggaran penggunaan bahasa lain turut diguna pakai.

“Kalau kita tengok di papan tanda terdapat gabungan tulisan Cina, jawi, Tamil. Kita benarkan dan inilah realiti dasar toleransi yang dilaksanakan oleh kita, bukan sahaja bercakap.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga dengan program Back To School, Gunting Rambut Percuma Antara Kaum hari ini, ia berjaya dianjurkan dengan penglibatan orang Melayu, Cina dan India,” katanya.

Takiyuddin menunjukkan kemahiran menggunting rambut Kuek Fen Yuan di sini semalam.
Takiyuddin menunjukkan kemahiran menggunting rambut Kuek Fen Yuan di sini semalam.

Katanya, program anjuran Lajnah Perpaduan Nasional Pas Kawasan Kota Bharu diadakan di Dataran Cheng Ho di sini itu turut melibatkan tukang gunting dari pelbagai kaum untuk memotong rambut 50 kanak-kanak bermula dari jam 9 pagi sehingga 12 tengah hari.

Dalam pada itu, rata-rata ibu bapa pelbagai kaum tidak kisah bahasa yang digunakan pada kain rentang program kerana bagi mereka aktiviti dijalankan memberi manfaat kepada semua pihak dan hubungan antara kaum di negeri ini sangat baik.

Seorang ibu, Nor Sharirawati Azlan, berkata, program melibatkan semua kaum itu sangat baik dan sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban ibu bapa sebelum sesi persekolahan 2020 bermula.

Sementara itu, Kuek Fen Yuan, 12, sangat teruja dapat menggunting rambut secara beramai-ramai dengan dengan rakannya dari pelbagai kaum, manakala Kavin A/L Murugai,6, pula, tidak sabar untuk memulakan persekolahan tahun hadapan dengan gaya rambut baharu.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Kawasan Kota Bharu, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, selain aktiviti gunting rambut secara percuma, program tersebut juga turut menyerahkan sumbangan kepada asnaf dan pertandingan mewarna kanak-kanak melibatkan pelbagai kaum.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!