25 peratus aduan talian SELamat babit keganasan rumah tangga

Anfaal (belakang, empat dari kiri) pada Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat negeri Selangor di Zoo Negara pada Ahad.
Anfaal (belakang, empat dari kiri) pada Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat negeri Selangor di Zoo Negara pada Ahad.
A
A
A

HULU KELANG - Sebanyak 25 peratus daripada 123 kes Talian SELamat adalah membabitkan aduan keganasan rumah tangga.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, statistik tersebut bagi tempoh November 2021 sehingga Oktober lalu.

Menurutnya, angka itu agak membimbangkan dan kerajaan negeri telah menetapkan tarikh 25 November lalu hingga 10 Disember ini untuk menjalankan Hari Aktivisme Melawan Keganasan Berasaskan Gender.

"Kempen selama 16 hari tersebut mendapat kerjasama daripada agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan kesedaran menerusi beberapa program yang akan dijalankan.

"Contohnya pada Jumaat lepas kita adakan persembahan teater dan forum membincangkan aspek bantuan kepada mangsa keganasan," katanya pada Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 peringkat negeri Selangor di Zoo Negara pada Ahad.

Tambah Anfaal, kerajaan negeri turut bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kempen tersebut untuk mengesan pemandiri atau mangsa keganasan yang enggan membuat laporan.

"Dalam keganasan berasakan gender ini, kita tidak melihat hanya wanita sebagai mangsa tetapi juga terhadap kanak-kanak dan lelaki walaupun jumlahnya tidak banyak.

"Kerajaan negeri beranggapan apa juga keganasan perlu dihentikan dan isu tersebut bukan hanya dilihat dalam keluarga sahaja tetapi dalam komuniti secara keseluruhan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Talian SELamat 03 6419 5027 dilancarkan pada November 2021 yang beroperasi 24 jam dikendalikan kakitangan Wanita Berdaya Selangor (WBS) bersama kumpulan sukarelawan.