JKM cari empat waris kanak-kanak

Gambar atas kiri: AASHALATA, kanan: NUR ALYESYA, gambar bawah kiri: SAHIDATUL, kanan: LUQMAN
Gambar atas kiri: AASHALATA, kanan: NUR ALYESYA, gambar bawah kiri: SAHIDATUL, kanan: LUQMAN
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan mengesan waris kepada lima kanak-kanak yang ditinggalkan oleh ibu bapa kandung sejak kecil.

Menerusi satu kenyataan, JKM memaklumkan waris pertama yang sedang dikesan adalah melibatkan seorang kanak-kanak berusia 7 tahun, Nur Aleesya Diana dan yang diserahkan kepada keluarga angkat oleh ibu kandungnya.

JKM berkata, kanak-kanak itu diserahkan kepada penjaga berikutan ibu kandungnya yang merupakan warga Indonesia kurang berkemampuan.

"Sehubungan itu, JKM mengalu-alukan mana-mana pihak yang mengenali waris kanak-kanak ini untuk tampil bagi membantu urusan penempatan dan kebajikannya," katanya.

Mengulas lanjut JKM berkata, pihaknya juga sedang giat mengesan waris kepada kanak-kanak dikenali sebagai Aashalata, 7, yang ditinggalkan ibu bapa kandungnya.

Katanya, kanak-kanak tersebut ditinggalkan ibu bapanya kepada seorang penjaga tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Pihak kami memohon mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai waris kanak-kanak ini agar dapat menghubungi JKM segera," katanya.

Bagi kes ketiga, JKM memaklumkan pihaknya sedang mengesan waris kepada Sahidatul Aqma Abdullah, 10, yang diserahkan kepada keluarga angkat oleh ibu bapanya yang merupakan warganegara Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Sahidatul diserahkan kepada penjaga ekoran ibu bapanya tidak berkemampuan.

"Bagi membantu urusan penempatan kanak-kanak ini, kami sedang mengesan warisnya dan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan JKM," katanya.

Dalam pada itu, JKM juga giat mengesan waris kepada seorang kanak-kanak berusia 9 tahun dikenali sebagai Luqman yang ditinggalkan oleh ibu bapanya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

JKM berkata, Luqman merupakan seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) fizikal dan disahkan menghidap 'spinal bifida' iaitu tulang belakang membongkok dan tidak boleh berjalan.

"Setelah mendapatkan rawatan kesihatan, kanak-kanak ini semakin baik dan dapat berjalan seperti biasa. JKM ingin mengesan waris kepada kanak-kanak ini bagi membantu mahkamah membuat keputusan terbaik berhubung penempatannya selepas ini," katanya.