Kelantan serius atasi masalah banjir kilat

Kerajaan Kelantan serius menyelesaikan masalah banjir kilat di Kota Bharu dengan menaik taraf sungai, tali air, saliran, dan longkang. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Izani
Kerajaan Kelantan serius menyelesaikan masalah banjir kilat di Kota Bharu dengan menaik taraf sungai, tali air, saliran, dan longkang. - Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Izani
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan serius menyelesaikan masalah banjir kilat di daerah ini dengan menaik taraf sungai, tali air, saliran, dan longkang.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, kerajaan negeri melalui perunding yang dilantik telah menghasilkan pelan hidrologi dan sistem saliran bandar bagi kawasan pembangunan Bandar Baru Tunjong dan di sekitarnya.

"Dengan adanya pelan tersebut, isu banjir dan sistem perparitan dalam kawasan lembangunan Bandar Baru Tunjong dan kampung-kampung di sekitar dapat diselesaikan melalui pembangunan infrastruktur.

"Kerja-kerja menaik taraf Sungai Seribong dan tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) bagi dijadikan saliran utama mengalirkan air ke Laut China Selatan," katanya melalui kenyataan menjawab soalan daripada Shaari Mat Yaman (Pas-Bunut Payong) pada Persidangan Kali Kedua (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Ahad.

Menurut beliau, pembinaan dua kolam takungan setiap satu berkeluasan 11.112 hektar dan 5.8484 hektar bagi mengumpulkan air dari longkang dan saliran dalam kawasan pembangunan sebelum dilepaskan ke laut.

Ujarnya, membina dan menaik taraf longkang dan saliran sedia ada kesemua kawasan tadahan serta 'invert level' sebagaimana yang diperakukan kajian hidrologi dan sistem saliran.

Dr Izani memberitahu, termasuk meninggikan aras pelantar tapak kawasan pembangunan agar semuanya berada di aras selamat banjir.

Tambahnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula telah melaksanakan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1 sedang dilaksanakan dengan kos kontrak adalah sebanyak RM480 juta.

Artikel Berkaitan:

"Projek ini melibatkan tiga komponen utama iaitu rancangan tebatan banjir, living river dan saliran mesra alam.

"Skop kerja bagi rancangan tebatan banjir adalah melibatkan kerja-kerja pembaikan Sungai Kelantan dan pembinaan 'levee' sepanjang 3 kilometer (km) dari Tikat ke Kedai Buloh dan 5.6 km dari Palekbang ke Kok Majid, Tumpat serta pembinaan floodwall 1.4 km di Kampung Laut," katanya.

Beliau memberitahu, bagi skop living river melibatkan kerja-kerja pengerukan Sungai Pengkalan Datu dan muaranya serta kerja-kerja pengorekan sungai dan pengukuhan tebing serta 'Water Treatment System' di Sungai Pengkalan Chepa.

Ujarnya, JPS juga telah melaksanakan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di jajahan Kota Bharu yang mana kajian ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu untuk mengenalpasti punca-punca kejadian banjir kilat yang berlaku.

Dr Izani berkata, ia sebagai rujukan dalam merancang infrastruktur saliran serta mengenalpasti langkah-langkah penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang secara komprehensif bagi menangani kejadian banjir kilat di kawasan tersebut.