'Tiada majoriti besar, tidak mustahil boleh tumbang' - Hamzah

Hamzah ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 pada Sabtu.
Hamzah ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mustahil boleh ditumbangkan ekoran parti-parti yang menyertainya tidak mempunyai majoriti besar.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, Kerajaan Madani yang diterajui Pakatan Harapan (PH) itu hanya memenangi 82 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, dengan undi popular 36.1 peratus berbanding Perikatan Nasional (PN) meraih 49.3 peratus.

"PN lebih popular daripada mereka (PH), jadi kita kena terus kuatkan sokongan supaya boleh capai lebih 50 peratus undi popular," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2023 pada Sabtu.

Dalam pada itu Hamzah turut mengingatkan Anwar supaya tidak mempersoalkan usaha menukar kerajaan susulan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga pernah memulakan tindakan serupa menerusi satu gerakan pada 16 September 2008.

Beliau berkata, ketika itu Anwar mendakwa telah mendapat sokongan majoriti daripada ahli Parlimen.

“Dahulu semasa orang itu (Anwar) menjadi ketua pembangkang (mendakwa) kononnya ada angka yang kukuh untuk menggulingkan kerajaan, seperti dibenarkan Perlembagaan (Persekutuan) mengikut amalan demokrasi.

“Saya beri peringatan, kalau ALLAH kata 'Kun Fa Ya Kun', tiada makhluk yang boleh halang.

"Sampai masanya, (berkat) doa semua para perwakilan, ahli, penyokong PN, insya-ALLAH kerajaan akan beralih,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam peristiwa 15 tahun lalu, Anwar mendakwa lebih 31 ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) kononnya akan menyertai PKR, sekali gus menjadikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi terbubar.

Ketika itu, PKR mempunyai 81 daripada 222 kerusi Parlimen.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!