Dakwaan Sirul jadi kambing hitam tak pernah dibangkitkan di mahkamah

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006 bahawa dia telah dikambinghitamkan tidak pernah dibangkitkan di mahkamah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu, malah seorang lagi anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri yang dituduh bersama Sirul Azhar bagi kesalahan sama juga tidak pernah menyatakan perkara itu dalam mana-mana prosiding mahkamah.

Justeru, beliau menyifatkan kenyataan Sirul Azhar dalam wawancara eksklusif bersama Aljazeera English 101 East pada Jumaat tidak langsung mempunyai merit, tidak berasas dan hanya bersifat kenyataan liar yang boleh menimbulkan spekulasi.

"Dia telahpun diberikan peluang untuk membela diri selari dengan Perlembagaan dan undang-undang yang berkuat kuasa di Malaysia.

"Namun dakwaan ini tidak pernah dikemukakan kepada mana-mana mahkamah yang mengadili dia dari Mahkamah Tinggi sehinggalah di Mahkamah Persekutuan," katanya di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, sekiranya Sirul Azhar yakin dan mahukan keadilan berdasarkan keterangan-keterangan baharu, maka dia atau melalui peguamnya, boleh membuat laporan agar pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan lanjut.

"Namun, sehingga kini dia masih belum lagi membuat sebarang permohonan untuk membuat semakan ke atas hukuman mati yang dikenakan ke atas dia selari dengan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan 2023 [Akta 847] yang memberi tempoh selama 90 hari untuk mana-mana pesalah hukuman mati untuk membuat semakan bermula dari tarikh 12 September 2023," ujarnya.

Dalam wawancara pertama sejak dibebaskan dua minggu lalu dari Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Sirul Azhar mendakwa, dia tidak bertanggungjawab ke atas pembunuhan Altantuya walaupun disabitkan bersalah oleh mahkamah di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Dia mendakwa dijadikan kambing hitam dan diperangkap dalam permainan politik yang mana dia mengakui menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan bertujuan untuk 'menutup mulut.'

Dia juga ada membuat beberapa dakwaan yang tidak dapat disahkan terhadap beberapa personaliti individu ternama.

Akhbar Australia, The Sydney Morning Herarld, sebelum ini melaporkan, Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.

Dia ialah antara sekumpulan tahanan imigresen yang dibebaskan selepas Mahkamah Tinggi Australia memutuskan tindakan menahan tahanan tanpa tempoh adalah pelanggaran undang-undang.

Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, pada 18 Oktober 2006.

Berikutan itu, dua anggota UTK iaitu Sirul Azhar yang ketika itu berpangkat Koperal dan Cif Inspektor Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.

Pada 9 April 2009, mahkamah menjatuhkan hukuman mati terhadap Sirul Azhar dan Azilah atas kesalahan membunuh Altantuya, bagaimanapun kedua-duanya memfailkan rayuan atas hukuman mereka.

Pada Februari 2012, permohonan rayuan mereka berlangsung selama tiga hari dan akhirnya pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan Azilah dan Sirul Azhar dilepas dan dibebaskan.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memfailkan rayuan atas keputusan itu di Mahkamah Persekutuan dan pendengaran rayuan berlangsung pada 23 Jun 2014.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan kemudian sebulat suara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas Azilah dan Sirul Azhar selepas membenarkan rayuan pendakwaan, pada 13 Januari 2015.

Sirul Azhar meninggalkan Malaysia pada 2014 ketika kes itu masih lagi dalam rayuan, dan tidak pulang ketika hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan.

Sirul Azhar kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal. - Awani