Amaran Ummah buat Dong Zong!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KAJANG - Meskipun kongres membantah pelaksanaan jawi dibatalkan, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) tetap tegas melaungkan amaran kepada Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Timbalan Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, sekiranya Dong Zong dan pihak lain masih meneruskan niat membantah jawi, pihaknya akan mengadakan kongres rakyat dan himpunan rakyat secara besar-besaran.

Tegasnya, himpunan yang akan diadakan dalam masa terdekat itu lebih besar daripada himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada tahun lepas.

“Kita beri amaran kepada Dong Zong dan mana-mana pihak, sekiranya masih diteruskan niat untuk bantah jawi, kita telah memutuskan dua perkara.

“Satu, kita akan adakan kongres rakyat secara besar-besaran di Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat dan kita akan adakan himpunan yang lebih besar daripada ICERD.

“Ini untuk kita menyatakan bahawa majoriti rakyat dalam Malaysia ini sokong bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dalam semua urusan termasuk pendidikan dalam negara kita,” katanya pada sidang akhbar berhampiran Kolej New Era di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga akan bermesyuarat petang ini bagi memutuskan langkah seterusnya agar isu sensitif sebegitu tidak lagi disuarakan selepas ini.

“Kita mahu memastikan Dong Zong dan pihak lain jangan cuba untuk menaikkan isu sensitif kerana isu seperti ini mengajak rakyat untuk menentang undang-undang dan perlembagaan dalam negara kita,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dong Zong membatalkan kongres membantah pelaksanaan tulisan jawi di sekolah yang dijadualkan berlangsung hari ini di Kolej New Era, Kajang selepas mendapat perintah mahkamah semalam.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, perintah tersebut diserahkan kepada pihak Dong Zong pada jam 5 petang semalam.

Susulan keputusan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang merancang mengadakan himpunan protes turut membatalkan niat mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis dapat perintah halang Dong Zong

Dalam perkembangan lain, Mohd Zai menegaskan bantahan disuarakan Ummah itu bukan kerana mereka membenci orang Cina atau membenci bahasa Mandarin.

“Kita tidak benci orang Cina, tidak benci bahasa Cina, kita sayang bahasa Mandarin.

“Kita juga nak beritahu dan berterima kasih kepada polis khususnya IPD Kajang kerana telah dapatkan perintah mahkamah untuk dapatkan arahan Dong Zong tidak boleh mengadakan kongres bantah jawi hari ini,” katanya.