Ceramah adik Sanusi sokong PH dibatalkan

Poster ceramah menampilkan adik Sanusi, iaitu Saidi Adnan dibatalkan.
Poster ceramah menampilkan adik Sanusi, iaitu Saidi Adnan dibatalkan.
A
A
A

ALOR SETAR - Ceramah politik Pakatan Harapan (PH) yang menampilkan adik kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Kampung Alor Senibong yang sepatutnya diadakan malam Sabtu, dibatalkan.

Saidi Adnan Md Nor dijadualkan hadir bersama calon PH dari PKR di DUN Bukit Pinang, Datuk Hadzir Md Zain dalam program ‘Sembang Santai bersama anak muda’ pada 9.30 malam.

Bagaimanapun sejam sebelum program berlangsung, ceramah berkenaan terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.

Wakil penganjur memaklumkan, Saidi Adnan tidak dapat menghadiri program berkenaan disebabkan masih terikat dengan tanggungjawab sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Manjung, Perak.

“Sebagai penjawat awam, dia tidak boleh hadir ke majlis politik,” katanya.

Kemunculan Saidi Adnan sesuatu yang dijangkakan selepas tular video abangnya, Sanusi mengkritik adiknya itu kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam ceramah kempen pilihan raya baru-baru ini, Sanusi mendakwa bapa mereka meminta adik lelakinya itu menukar ‘bin’ kerana tidak sehaluan dengan Pas, sebaliknya menyokong PKR.

Saidi Adnan merupakan mantan Yang Dipertua (YDP) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Perak selain aktif sebagai penceramah bebas dan guru agama di negeri itu.

Perbezaan politik dua beradik itu mencuri tumpuan apabila Sanusi dan Anwar sering bercakaran dan saling membuat tuduhan dalam kempen PRU15 lalu.

Selepas Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, Pengerusi PH itu bertindak memfailkan saman terhadap Sanusi berhubung kenyataan dalam kempen politik PRU15.

Sejak itu, hubungan kedua-duanya dilihat agak ‘panas’ apabila Sanusi sering membangkitkan isu dan berbalas kenyataan dengan Anwar.