Jangan pandang konflik di Gaza isu bermusim

Rakyat Palestin kembali ke daerah Khezaa di pinggir timur bandar selatan Genting Gaza Khan Yunis untuk meninjau kediaman mereka selepas beberapa minggu pengeboman Israel, ketika gencatan senjata selama empat hari berkuat kuasa pada Jumaat. - Foto AFP
Rakyat Palestin kembali ke daerah Khezaa di pinggir timur bandar selatan Genting Gaza Khan Yunis untuk meninjau kediaman mereka selepas beberapa minggu pengeboman Israel, ketika gencatan senjata selama empat hari berkuat kuasa pada Jumaat. - Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Masyarakat dunia tidak harus memandang isu Palestin secara bermusim sebaliknya ia perlu diberi perhatian secara berterusan untuk diselesaikan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Beliau berkata, usaha mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat antarabangsa berhubung isu sebenar Palestin perlu dilakukan secara berterusan agar mereka terus konsisten bersama dalam menangani isu sejagat itu.

"Kita tidak mahu bila berlaku serangan di Gaza, baharu ada yang ambil tindakan seperti memakai mafela Palestin atau memboikot (produk berkaitan negara Israel) sebagai tanda solidariti terhadap Palestin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Malam Mahabbah & Munajat Bersama Keluarga Palestin Di Malaysia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dekat sini hari ini.

Program itu dihadiri oleh Pengerusi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz dan Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali.

Pada majlis itu GPM menyampaikan sumbangan kepada 300 keluarga Palestin yang hadir pada majlis tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: