Wan Azizah akui hampir menitis air mata iringi Anwar angkat sumpah PM

Wan Azizah semasa berucap pada Syarahan Perdana di Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Jumaat.
Wan Azizah semasa berucap pada Syarahan Perdana di Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui hampir mengalirkan air mata apabila mengiringi suaminya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Ke-10, genap setahun lalu.

Wan Azizah berkata, pada masa itu, beliau tidak putus berdoa agar Anwar mampu memikul tanggungjawab besar untuk mentadbir negara.

"Hari ini sudah setahun, (pada masa itu) saya rasa hendak menangis bila Anwar mengangkat sumpah.

"Tetapi dalam hati saya doakan agar amanah yang dipikul ini, ALLAH berikan hidayah, petunjuk dan permudahkan kerana jawatan itu adalah tanggungjawab dan amanah (kepada semua rakyat) serta ini bukanlah keistimewaan," katanya.

Wan Azizah (tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Syarahan Perdana di Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Jumaat.
Wan Azizah (tengah) bergambar bersama tetamu yang hadir pada Syarahan Perdana di Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Syarahan Perdana di Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di sini pada Jumaat.

Wan Azizah sebelum ini menerima menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik sempena Istiadat Konvokesyen Unisel Ke-17 pada 9 September lalu.

Wan Azizah memberitahu, terlalu banyak 'asam garam' dilalui sepanjang perkahwinan bersama Perdana Menteri sebelum beliau berkecimpung dalam politik.

Artikel Berkaitan:

"Saya ini eksiden sahaja masuk politik sebab banyak kejutan berlaku dalam hidup saya.

"Saya kahwin dengan cikgu (Anwar) dan kemudian Anwar hendak masuk UMNO membuatkan saya terkejut.

"Selepas itu bertanding (dalam pilihan raya) kemudian menang dan menjadi Timbalan Menteri, Menteri dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri," tambah beliau.

Bagaimanapun, katanya, sepanjang suaminya bergiat aktif dalam politik, beliau masih meneruskan pekerjaannya sebagai doktor pakar mata.

"Saya mendapat tajaan pendidikan dan pada masa itu terikat dengan perjanjian 10 tahun bekerja dan hanya meletak jawatan selepas Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM)," tambah beliau.

Bagaimanapun, Wan Azizah memberitahu, segala-galanya berubah apabila Anwar dipecat sebagai TPM.

"Itu (pemecatan Anwar) juga kejutan, sebab lepas jadi TPM dengan sekelip mata beliau jatuh dan dimasukkan dalam penjara.

"Apa saya nak cerita pada anak-anak?. saya terhutang budi pada keluarga yang datang tolong dan memberikan kekuatan.

"Pada masa itu saya muda lagi, saya tidak tunjuk gugup atau jatuh pada sesiapa yang membuat zalim," kata beliau.

Wan Azizah berkata, beliau menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH dan tetap bersemangat demi anak-anak.

"Kalau saya nak menangis pun seorang diri. Biasanya balik dari ceramah, tengok anak sudah tidur bergelimpangan di rumah dan inilah sebenarnya memberi kekuatan," jelas beliau.

Sebahagian tetamu yang hadir pada Syarahan Perdana di Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Jumaat
Sebahagian tetamu yang hadir pada Syarahan Perdana di Unisel Kampus Bestari Jaya di sini pada Jumaat

Mengulas mengenai saranan beliau kepada Unisel, Wan Azizah berkata, beliau berharap universiti itu dapat melahirkan graduan berimbang dari segi rohani, jasmani dan intelektual.

"Unisel sebuah universiti yang beroperasi di bawah kendalian sepenuhnya kerajaan negeri Selangor telah menempa nama dan menabur bakti kepada negara dan antarabangsa sepanjang penubuhannya sejak 1999.

"Unisel menghasilkan graduan yang menjadi generasi penyambung kepada kepimpinan negara dan generasi akan datang.

"Saya amat menghargai Unisel dalam aspek pembangunan insan dengan gagasan Malaysia Madani kerana mahukan pembangunan seimbang dan negara maju tetapi rakyat masih bersopan santun tanpa memaki hamun dan fitnah," jelas beliau.