Melayu hilang kuasa jika laksana persempadanan semula - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa Melayu akan hilang kuasa sekiranya persempadanan semula kawasan pilihan raya terutamanya di bandar dilaksanakan.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, langkah tersebut memberi kelebihan dan menyaksikan kerusi dimiliki DAP akan bertambah.

“Saya jangkakan kerusi DAP akan bertambah sekali ganda jika proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH). Daripada 40 kerusi yang dimiliki oleh DAP sekarang mungkin akan bertambah menjadi 80 kerusi.

“Ini tidak termasuk ‘gerrymandering’ atau persempadanan semula yang akan dibuat di kawasan-kawasan Parlimen sedia ada untuk memberi kelebihan kepada parti DAP dan rakan-rakan sekutunya di dalam PH. Jika ini berlaku, DAP akan menjadi sebuah parti yang amat berkuasa di dalam kerajaan.

“Saya percaya, pada masa itulah cita-cita utama DAP yang memperjuangkan kesamarataan hak dan penghapusan dasar-dasar pro-Bumiputera seperti yang terkandung di dalam Deklarasi Setapak 1967 dan Perlembagaan DAP akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu (PAT) Bersatu 2023 kali ke-6 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Jumaat.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sebelum ini dilapor berkata, dakwaan Perikatan Nasional (PN) bahawa Kerajaan Perpaduan akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah kawasan pilihan raya jika memiliki majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat sebagai tidak berasas.

Menurutnya, urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya merupakan bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!