Kuching City FC anggap tewas dengan JDT sebagai ujian akhir

Kuching FC tewas 0-2 dengan JDT pada aksi liga dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada malam Khamis. - Foto ihsan JDT
Kuching FC tewas 0-2 dengan JDT pada aksi liga dalam perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada malam Khamis. - Foto ihsan JDT
A
A
A

KUCHING City FC tidak 'koyak' dengan kekalahan 0-2 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada malam Khamis.

Menurut ketua jurulatihnya, Aidil Shahrin Sahak, ini kerana barisan pemain The Cats sudah menunjukkan persembahan terbaik apabila hanya tewas dengan jaringan kecil berbanding pasukan lain yang kebanyakannya bolos dengan jaringan besar.

Beliau menganggap pertemuan menentang JDT itu sebagai ujian terakhir sebelum perlawanan akhir Piala Cabaran MFL pada Rabu depan.

"Walaupun tewas 0-2, ia memberi pengalaman bermakna buat pemain untuk memperbaiki kesilapan dan menambah baik mutu permainan sebelum aksi final pertama itu. The Cats hanya tewas dengan jaringan kecil ketika bertandang di kubu kuat JDT.

"Kita tahu banyak pasukan yang bergelut menentang JDT di sini dan kebanyakannya bolos dengan jaringan yang besar, jadi saya anggap pemain sudah melakukan tugas dengan baik dan hanya dibolosi gol yang berkualiti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perlawanan JDT menentang Kuching City FC pada aksi liga di stadium berkenaan.

Aidil berkata, The Cats mencuba nasib pada separuh masa kedua dengan menambah menambah baik corak permainan dan beraksi dengan teratur termasuk cuba melancarkan peluang ke arah kubu lawan.

"Biarpun tewas, saya lihat ini sebagai keputusan yang positif dan pertemuan ini membuka mata kami untuk memperbaiki kelemahan sebelum melangkah ke final (MFL Challenge Cup).

Artikel Berkaitan:

"Kebimbangan saya pada perlawanan ini adalah pemain mengalami kecederaan dan dilayangkan kad kuning, sebab itu saya merehatkan Abu Kamara dan Alif Hassan kerana masing-masing telah mengutip lima kad kuning sebelum ini dan saya enggan mengambil risiko kehilangan mereka," katanya.

Selain Kamara dan Alif, Aidil Shahrin turut merehatkan Petrus Shitembi yang hanya menyertai kem Kuching City beberapa jam sebelum perlawanan bermula setelah pulang daripada kem kebangsaan Namibia.

Ketiga-ketiga pemain itu katanya, merupakan watak penting pada perlawanan final menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dijangka menjadi satu pertembungan yang sengit.

"Saya menjangkakan satu pertemuan yang sengit menentang Skuad Sang Saka Biru, mereka pasukan sukar dijangka pada musim ini. Tambahan pula, mereka mempunyai benteng pertahanan yang kental yang diketuai oleh James Okwuosa," ujarnya.

Pihaknya kata Aidil Shahrin, nekad untuk memberi tentangan sehabis baik selain mengintai peluang untuk mencipta kemenangan.

"Saya harap pemain berupaya menghasilkan keputusan positif untuk dibawa ke final kedua di Kuching kelak," katanya.