Adam Rakib dedah rahsia tumbangkan petarung Maghribi

PETARUNG Muay Thai muda negara, Adam Rakib mendedahkan arahan bapanya dari luar gelanggang menjadi kunci kejayaannya menumbangkan lawan dari Maghribi, Walid Snoussi menerusi keputusan 'Knock-Out' (KO) di Bangkok pada Jumaat.
Dalam pertarungan ONE Friday Fights 141 yang berlangsung di Stadium Lumpinee itu, Adam mempamerkan aksi agresif dan bertenaga sebaik sahaja loceng permulaan dibunyikan.
Percaturan corak serangan itu ternyata membuahkan hasil apabila lawannya disahkan tidak mampu meneruskan aksi pada pusingan kedua, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya buat wakil negara itu.
Mengulas lanjut mengenai kejayaan tersebut, Adam mengakui dia terdengar dengan suara bapanya yang memberikan arahan penting ketika pertarungan sedang rancak berlangsung.
"Ketika dalam pertarungan, saya dengar suara ayah dari bawah.
"Ayah suruh saya sepak tengkuk dia (lawan), saya ikut dan berhasil dapatkan KO," katanya dalam sidang media selepas pertarungan tersebut seperti dilaporkan Astro Arena.
Menurut Adam, teknik sepakan tersebut bukanlah asing baginya memandangkan abangnya yang juga bintang Muay Thai, Aliff Rakib pernah melakukan gerakan sama sebelum ini, sekali gus memudahkannya untuk mempraktikkan skil berkenaan di dalam gelanggang.
Kemenangan itu menyuntik semangat baharu buat Adam untuk terus melakar nama di pentas antarabangsa.
Jelasnya, sasaran utama kini adalah untuk memburu kontrak penuh ONE Championship (ONE) pada masa akan datang.
Ringkasan AI
- Adam Rakib menang KO terhadap Walid Snoussi di Bangkok
- Arahan bapa menjadi kunci kejayaannya
- Serangan agresif sejak awal pertarungan
- Mendengar arahan penting dari bapa semasa pertarungan
- Menyuntik semangat untuk terus berjaya di pentas antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
