Piala FA: Sabah waspada muslihat Kuching City di Stadium Negeri

Kim Swee - Foto Sabah Football Club
Kim Swee - Foto Sabah Football Club
A
A
A

PEMAIN Sabah FC diingatkan supaya tidak memandang rendah keupayaan Kuching City FC apabila kedua-dua pasukan berentap dalam perlawanan pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu.

Malah pengendali The Rhinos, Datuk Ong Kim Swee menjangkakan The Cats menghadirkan saingan lebih sengit dengan kehadiran ketua jurulatih baharu Aidil Sharin Sahak.

Katanya, taktikal digunakan bekas pengendali Kedah Darul Aman FC itu akan menjelmakan penampilan Kuching City yang berbeza berbanding sebelum ini dalam Derbi Borneo tersebut.

“Ya, merupakan kali ketiga Sabah menentang Kuching City, dan kali kedua tampil di Stadium Negeri bagi saingan Liga Malaysia.

“Seperti biasa pertembungan Derbi Borneo ini sememangnya cukup sengit terutama Kuching City dengan kehadiran jurulatih baharu mereka.

“Sudah pasti mereka mempunyai perancangan terbaik bagi memastikan Sabah tidak mendapat keputusan positif apabila bermain di sana nanti,” katanya pada Khamis.

Sebagai rekod, ini merupakan perlawanan ketiga Liga Malaysia kedua-dua pasukan musim ini dengan dua perlawanan Liga Super sebelum ini memihak pasukan Sabah apabila menang 2-1 di Kuching pada 6 Mac lalu diikuti 4-3 di Likas pada 8 Julai.

Dalam pada itu, Kim Swee juga menuntut barisan pertahanan The Rhinos untuk mengekalkan tahap disiplin selepas melepaskan 27 dalam saingan Liga Malaysia.

“Biarpun begitu masalah ini kita telah mula atasi sebaik pusingan kedua Liga Super bermula.

“Ini antara kelemahan kita, Jika dilihat pada pusingan kedua selepas perlawanan menentang Kuching City kita berjaya memperbaiki daripada dibolosi melebihi daripada satu gol.

“Apa yang penting kita akan terus memperbaiki kelemahan sedia ada bagi memastikan Sabah tidak dibolosi banyak gol dalam setiap perlawanan,” katanya.


PIALA MALAYSIA 2023

PUSINGAN 16

PERLAWANAN PERTAMA

JUMAAT (4 OGOS)

Kelantan FC lwn Johor Darul Ta'zim

(Stdm Sultan Muhammad IV, 8.15 malam)

Harini FT lwn Sri Pahang FC

(Stdm Tuanku Abdul Rahman, 9 malam)

Kuala Lumpur Rovers lwn Terengganu FC

(Stdm Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 8.15 malam)

SABTU (5 OGOS)

Kelantan United lwn Negeri Sembilan FC

(Stdm Sultan Muhammad IV, 5.30 petang)

Kuching City FC lwn Sabah FC

(Stdm Negeri, 8.15 malam)

* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan MFL