Terus bekerja kuat jayakan dasar Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid - Foto Fail Bernama
Ahmad Zahid - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua pihak untuk terus bekerja kuat dalam memastikan semua perancangan Kerajaan Perpaduan dapat dijayakan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah membuat seruan itu menerusi catatan di Facebook sempena genap setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan, hari ini.

"Syukur Alhamdulilah. Hari ini, genaplah usia setahun Kerajaan Perpaduan memacu pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat berteraskan Agenda Malaysia Madani.

"Saya pasti banyak boleh diperbaiki, banyak juga boleh ditambah baik bagi memastikan dasar serta polisi yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan buat seluruh rakyat Malaysia ini dapat benar-benar dirasai dan dinikmati semua,” menurut catatan itu.

Dalam catatan sama, Ahmad Zahid turut berkongsi antara perkara yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan dalam tempoh setahun termasuk menjayakan penganjuran World Halal Business Conference ke-15 di United Kingdom bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri halal global.

Selain itu, proses permohonan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam tempoh 23 hari bekerja berjaya direalisasikan berbanding tempoh permohonan yang boleh mencecah dua tahun sebelum ini.

Kerajaan Perpaduan juga meluluskan peruntukan RM63.75 juta yang memberi manfaat kepada 318,642 pekebun kecil getah serta memperkasa penghayatan Islam dan ilmu al-Quran menerusi Program Pra Tahfiz Kemas yang menyasarkan untuk melahirkan seramai 100,000 huffaz celik menjelang 2026. - Bernama

Artikel Berkaitan: