Tabik ketajaman penyudah Rashford

Ketajaman penyudah Rashford dapat pujian Solskjaer. - Foto Premier League
Ketajaman penyudah Rashford dapat pujian Solskjaer. - Foto Premier League
A
A
A

PENGENDALI Manchester United, Ola Gunnar Solskjaer menyifatkan Marcus Rashford kini persis Cristiano Ronaldo semasa usia remajanya selepas tonggak The Red Devils itu konsisten meledak jaringan pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Menurutnya, Rashford dilihat konsisten dalam memacu misi kelab gergasi Inggeris berada pada kelompok empat terbaik saingan liga penghujung musim.

"Gol jaringan Rashford tadi fantastik, semasa latihan dia tidak hanya berlatih tetapi bekerja keras dalam setiap latihannya.

"Rashford membuktikan latihan melompat dan menanduk bola tidak hanya sekadar latihan tapi memerlukan keberanian bertarung di udara.

"Saya masih ingat ketika pernah beraksi bersama seorang pemain remaja yang bijak menggunakan kepalanya bagi menjaringkan gol suatu masa dulu. Rashford kini persis Cristiano Ronaldo ketika mula bersama kelab ini dulu," katanya

Pada aksi menentang Newcastle United yang menyaksikan anak buah Solskjaer menang 4-1 di Old Trafford, Rashford turut menyumbang gol hasil tandukan.

Tuan rumah terlebih dulu ketinggalan minit ke-14, hasil jaringan pemain pelawat Matthew Longstaff.

Namun The Red Devils bangkit hasil dua jaringan Anthony Martial manakala satu masing-masing daripada Mason Greenwood dan Rashford.

Artikel Berkaitan:

Gol Rashford itu adalah yang ke-15 dalam 25 penampilan bersama The Red Devils dalam semua pertandingan musim ini.

Bagi saingan liga sahaja Rashford sudah mencetak 11 gol dalam 19 penampilannya sekali gus gol terbanyak pada satu musim sejak penampilan pertama musim 2015/16.