Sampai bila wang rakyat akan dibazirkan

Rakyat berharap Kerajaan Madani bertiwikrama untuk memastikan Laporan Ketua Audit Negara dapat ditangani dengan tuntas dan tata kelola yang baik. - Gambar hiasan
Rakyat berharap Kerajaan Madani bertiwikrama untuk memastikan Laporan Ketua Audit Negara dapat ditangani dengan tuntas dan tata kelola yang baik. - Gambar hiasan
A
A
A

BUKAN sesuatu yang mengejutkan apabila Laporan Ketua Audit Negara 2022 dibentangkan di Dewan Rakyat pada Rabu mendedahkan jumlah kehilangan/kerugian wang awam sebanyak RM681.71 juta membabitkan enam program kerajaan.

Penyumbang faktor terbesar ialah pengurusan Program Penanaman Padi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berjumlah RM448.87 juta, diikuti pengurusan dua projek pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) (RM14.33 juta) seserta pengurusan dan kawal selia senjata api jabatan atau agensi di Kementerian Dalam Negeri (RM6.34 juta).

Banyak berlaku ketirisan dan salah tadbir urus dalam jabatan dan agensi kerajaan seperti yang yang didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara pada setiap tahun, tetapi apakah tindakan susulan yang dilakukan?

Apa tindakan terhadap menteri atau pegawai di kementerian atau pegawai di agensi yang bertanggungjawab?

Akhirnya laporan itu hanya tinggal laporan. Tunggu tahun hadapan untuk siri pendedahan yang lain pula.

Perkara ini mesti dipandang serius oleh kerajaan di mana pembaziran wang awam dan faedah rakyat telah diabaikan melalui tata kelola yang tidak dipatuhi oleh kementerian yang dinyatakan dalam laporan tersebut.

Kementerian atau jabatan kerajaan berkenaan perlu mengambil tindakan sama ada membetulkan kesilapan atau mengenakan hukuman yang sesuai kepada pegawai yang terlibat. Sampai bila wang rakyat dibazirkan begitu sahaja?

Satu tindakan yang konkrit perlu diambil bagi memastikan tidak ada lagi pembaziran sehingga mencecah jutaan ringgit dan pemantauan teliti perlu dilakukan dengan lebih serius demi memastikan projek yang dijalankan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

Kalau dapat diperbaiki kelemahan dan ketirisan yang disebut berulang kali pada setiap tahun oleh Laporan Ketua Audit Negara, sudah tentu banyak wang awam dapat diselamatkan dan digunakan untuk program-program yang lebih berfaedah.

Lebih penting, Laporan Ketua Audit Negara ini tidak akan memberi sebarang makna sekiranya tidak diambil tindakan.

Justeru rakyat berharap agar Kerajaan Madani bertiwikrama untuk memastikan Laporan Ketua Audit Negara ini dapat ditangani dengan tuntas dan tata kelola yang baik.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!