Isu ekonomi, tingkat pendapatan rakyat jadi tumpuan Kerajaan Perpaduan

Fahmi ketika bertemu pengamal media ketika hadir pada Majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Madani hari ini. - Foto Bernama
Fahmi ketika bertemu pengamal media ketika hadir pada Majlis Kesyukuran Setahun Pentadbiran Perdana Menteri dan Kerajaan Madani hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu ekonomi dan usaha meningkatkan pendapatan rakyat akan terus menjadi tumpuan Kerajaan Perpaduan yang memasuki tahun kedua pentadbiran di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Ditemui media selepas hadir Majlis Kesyukuran Sempena Setahun Pentadbiran Kerajaan Madani di sini malam ini, Fahmi berkata, isu berkenaan akan menjadi fokus kerajaan khususnya untuk membantu golongan yang paling memerlukan seperti yang berpendapatan rendah dan yang tinggal di kawasan kampung, pedalaman dan luar bandar.

"Jelas kalau kita lihat dapatan dari kaji selidik Merdeka Center, dan juga beberapa yang lain, fokus rakyat masih isu ekonomi dan ini akan menjadi fokus kerajaan khusus untuk membantu golongan yang paling memerlukan,” katanya.

Bagi Kementerian Komunikasi Digital, beliau berkata, ekonomi digital mampu menjadi satu kaedah untuk meningkatkan ekonomi serta pendapatan rakyat dan kementerian ini akan mengumumkan satu program mengenainya pada 29 November ini bersempena sidang Pusat Ekonomi Digital.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, tindakan Perdana Menteri yang tegas dalam beberapa perkara seperti membanteras rasuah dan mengukuhkan proses dan juga urus tadbir kerajaan, telah memberikan keyakinan kepada para pelabur.

"Jangkaan kita dalam tahun depan proses bagi merealisasikan pelaburan itu akan bermula dan tempias ekonomi dari segi positifnya akan dapat mula dinikmati rakyat sama ada secara terus melalui contohnya pembinaan ataupun nanti (peluang) pekerjaan,” katanya.

Fahmi berkata, Anwar amat tegas bersuara mengenai isu-isu kemanusiaan termasuk isu di Gaza, Palestin di persada antarabangsa.

"(Beliau) tidak berasa takut langsung untuk menyampaikan pandangan dengan tegas dalam sebarang forum, malah secara terus kepada Presiden Amerika Syarikat Joe Biden," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: