Saifuddin selar dakwaan Islam terancam, Melayu terbiar bawah Kerajaan Perpaduan

Saifuddin menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di PICC, Putrajaya pada petang Ahad.
Saifuddin menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di PICC, Putrajaya pada petang Ahad.
A
A
A

PUTRAJAYA - Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyelar dakwaan kononnya agama Islam terancam dan kaum Melayu terbiar di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Beliau turut membidas tindakan sesetengah pihak mengeluarkan kenyataan yang bertentangan setiap kali agenda atau pengumuman kerajaan dibuat dan mengaitkannya dengan aspek liberal, sekular mahupun Zionis.

"Ada tak di negara kita umat Islam disekat daripada mendirikan solat, menunaikan zakat atau mengerjakan rukun Islam iaitu haji...tiada satu pun pemerintah melarang. Kalau ada orang Islam tak boleh dan disekat melaksanakan kewajipan fardhu, itu (boleh dikatakan) Islam terancam.

"Kita cerita agenda Madani, dia cerita agenda sekular. Kita cerita noktah kemiskinan, dia kata tak boleh buat sebab ada instrumen zakat. Kita cerita tata kelola baik, dia kata ini agenda liberal...,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, sebagai menyokong ucapan dasar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berhubung dakwaan Islam terancam di bawah Kerajaan Perpaduan.

Anwar dilaporkan meminta pimpinan Islam di bawah Kerajaan Perpaduan supaya memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan dakwaan Islam terancam di bawah pentadbiran kerajaan.

Mengenai konsert Coldplay di ibu negara yang menimbulkan pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat, Saifuddin Nasution secara tegas mengatakan beberapa siri konsert juga pernah diadakan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu antaranya konsert penyanyi Amerika Syarikat, Billie Eilish.

"Bila anjur konsert zaman kita, ini (mereka kata Anwar) tak layak jadi pemimpin, liberal, muflis dan iman setipis bawang. Percayalah, dalam perkara yang kita sedang uruskan, tiada satu momen kita abaikan tumpuan dalam urusan kerajaan ini melainkan memikirkan soal bagaimana nak uruskan kebajikan dan bagaimana nak jamin pembelaan terhadap golongan rakyat khususnya the ‘most vulnerable group’,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata, kepimpinan PKR di peringkat bawah mendukung penuh keputusan politik yang dibuat Anwar yang juga Presiden PKR dalam menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan parti gabungan lain.

Beliau berkata, ia adalah hasil daripada maklum balas yang diterima ketika beliau mengadakan lawatan ke semua negeri kecuali Melaka sebelum Kongres PKR diadakan.

Antara maklum balas lain yang diterima menurut Saifuddin Nasution, termasuk meminta menteri daripada PKR untuk turun padang bertemu ahli dan pimpinan bawah parti sekiranya menghadiri tugasan rasmi di mana-mana negeri.

"Kadang-kadang kita terlepas pandang, ada (negeri) yang kita turun, (jadual) disusun oleh pegawai kementerian, program habis dan kita balik. Sedangkan anggota-anggota parti, cabang dan negeri tertunggu-tunggu.

"Ini ingatan untuk saya dan juga yang lain, lepas ini kita ubah dan kena ubah kerana ia ternyata menghiris perasaan anggota parti di peringkat bawah,” katanya. - Bernama