Pantau ketat pencemar sungai, naikkan denda dan hukuman penjara

Sehingga ke hari ini, Malaysia masih berdepan dengan polemik isu gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku akibat pencemaran sehingga menjejaskan rutin harian jutaan pengguna. - Gambar hiasan Bernama
Sehingga ke hari ini, Malaysia masih berdepan dengan polemik isu gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku akibat pencemaran sehingga menjejaskan rutin harian jutaan pengguna. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sehingga ke hari ini, Malaysia masih berdepan dengan polemik isu gangguan bekalan air bersih yang kerap berlaku akibat pencemaran sehingga menjejaskan rutin harian jutaan pengguna.

Penduduk di Lembah Klang khususnya semakin letih, geram membawa kepada berang, setiap kali berlaku episod ini lebih-lebih lagi apabila bekalan air terawat terputus secara tiba-tiba sehingga memaksa mereka bergantung kepada bekalan daripada lori tangki air.

Pada bulan Oktober lepas misalnya, penduduk di sebahagian kawasan Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor dan Kuala Selangor sekali lagi menjadi mangsa gangguan bekalan air akibat insiden pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor.

Sementara di Negeri Sembilan pada awal November ini, tindakan pihak tidak bertanggungjawab melepaskan sisa berjadual mengakibatkan sebahagian besar penduduk Port Dickson mengalami gangguan bekalan air kerana LRA Sungai Linggi terpaksa dihentikan disebabkan air yang diproses berbau diesel.

Bagaikan tiada kesudahan isu pencemaran sungai, timbul persoalan adakah situasi yang berlaku ini berpunca daripada kelemahan undang-undang sedia ada dalam membanteras penjenayah alam sekitar yang semakin bermaharajalela sehingga sukar ditangani.

Keadaan ini menyebabkan pakar berpandangan, langkah kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2023), dijangka pada sesi persidangan Dewan Rakyat suku pertama tahun 2024 untuk menambah baik akta sedia ada, dilihat sebagai bertepatan dan sudah tiba masanya.

Namun, akta berkenaan yang akan memberi tumpuan khusus dalam penambahbaikan berkaitan hukuman yang membabitkan kes jenayah alam sekitar dilihat masih belum memadai untuk menoktahkan isu pencemaran di negara ini.

RUU berkenaan melibatkan pindaan 28 Seksyen Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang antara lain, merangkumi pemantapan hukuman dengan julat kadar denda minimum tidak kurang daripada RM5,000, denda maksimum tidak melebihi RM10 juta dan penjara mandatori tidak melebihi tempoh lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Selain kadar kompaun juga ditingkatkan daripada tidak melebihi RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan.

Tidak memadai

Mengulas mengenai isu yang berbangkit, pakar kualiti air dan pemodelan kualiti air, Dr Zaki Zainudin berpandangan, peningkatan denda tidak mencukupi mengekang isu pencemaran secara menyeluruh sekiranya tidak disertai dengan pemantauan berkesan.

Menurut beliau, ini kerana masalah pencemaran sungai boleh berpunca daripada premis industri kecil seperti bengkel, aktiviti pertanian dan perlombongan, malah pernah pencemaran sungai yang berlaku di Selangor berpunca daripada pelepasan efluen bengkel lori sehingga menyebabkan penutupan LRA.

"Pencemaran juga turut berpunca daripada kolam ternakan ikan keli atau juga penternakan haiwan lain misalnya di Johor, terdapat premis baja daripada najis ayam yang melepaskan sisa ke Sungai Johor sehingga menyebabkan pencemaran dan penutupan LRA.

"Selain itu, ada juga pengusaha tidak kira besar mahupun kecil, tidak menyedari operasi mereka terletak dalam lembangan sungai dan menyebabkan pencemaran apabila membuang sisa ke dalam parit yang akhirnya akan sampai ke sungai,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan dengan itu, beliau menekankan penting pengawalan pembangunan terutamanya yang berskala besar dan berisiko tinggi tidak dibenarkan di kawasan hulu sungai bagi memastikan kualiti air di muka sauk dapat dipelihara.

Tahap penguatkuasaan dalam membanteras penjenayah alam sekitar turut sama dibangkitkan pensyarah kanan di Jabatan Kesihatan Persekitaran & Pekerjaan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman.

Beliau memberitahu Bernama, tindakan untuk meningkatkan kadar hukuman dalam RUU tersebut adalah bertepatan pada waktunya, namun tahap penguatkuasaan yang masih lemah sehingga penjenayah alam sekitar tidak takut mengulangi kesalahan sama, perlu juga diberi perhatian.

Justeru, Haliza berpandangan, pemantauan agensi penguatkuasaan alam sekitar perlu diperkasa termasuklah integriti pegawai penguatkuasa dalam menangani penjenayah alam sekitar agar jenayah berkenaan dapat diperangi habis-habisan bagi memastikan ekosistem sungai kekal terpelihara.

Alam sekitar tanggungjawab bersama

Menerusi penambahbaikan Akta 127 itu juga, kerajaan wajar menentukan kaedah terbaik dalam menentukan pesalah yang melakukan pencemaran alam untuk membawa mereka ke muka pengadilan.

Pensyarah kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM, Dr Mohd Yusoff Ishak dalam berkongsi pandangan ini memberikan contoh perbandingan situasi di sebuah pasar awam, yang mana peniaga A mengambil inisiatif menguruskan sisa buangannya dengan baik manakala peniaga B pula membuang sisa ke dalam sungai secara sembunyi.

"Dalam situasi sebegini, bagaimana pihak berkuasa dapat mengesahkan siapa yang bersalah dan siapa yang tidak kerana sisa seperti darah ayam sama sahaja. Sisa organik sekiranya dibuang ke sungai boleh meningkatkan kadar permintaan oksigen biokimia (BOD) sekali gus merencatkan oksigen terlarut dalam air dan membahayakan biodiversiti sungai,” jelasnya.

Dalam hal ini, beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan kerjasama rentas kementerian, memandangkan keterbatasan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta agensi di bawahnya menguruskan pencemaran sungai apabila berlaku sesuatu insiden.

Beliau turut berharap supaya setiap pemain industri yang menghasilkan sisa perlu terus mematuhi garis panduan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang diterima pakai sektor korporat supaya masyarakat dapat menilai sejauh mana komitmen pihak terbabit dalam kemampanan alam sekitar.

"Cabaran utama adalah bagaimana memastikan syarikat korporat mematuhi ESG. Jika di luar negara, mana-mana syarikat yang tidak mematuhi ESG dan melakukan pencemaran alam boleh dikenakan tindakan undang-undang dan bakal berdepan kerugian dagangan selain dikenakan penalti karbon yang tinggi dan ini mungkin boleh dipraktikkan di negara kita," katanya.

Selain itu, penting untuk memperkukuhkan kerjasama antara pihak berkuasa, sektor swasta, dan masyarakat dalam usaha memelihara alam sekitar. Pelaksanaan dasar dan inisiatif yang melibatkan semua pihak adalah penting untuk mencapai kelestarian alam sekitar.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, selain memastikan kelestarian ekosistem sungai, hukuman terhadap penjenayah alam sekitar wajar ditingkatkan, memandangkan banyak kes tersebut memberi kesan kepada kesihatan manusia.

Beliau memberi contoh pembuangan bahan logam berat seperti kadmium oleh pihak industri merisikokan gangguan sistem jantung atau pulmonari, ketoksikan sel testis dan sel sperma serta karsinogen kepada manusia selain turut memberi kesan kepada kehidupan akuatik.

"Pencemaran ini boleh mengakibatkan peningkatan tekanan, penurunan fungsi imun dan menjejaskan kejayaan pembiakan hidupan akuatik apabila air tercemar berpotensi menyebabkan penularan penyakit terhadap ternakan akuakultur,” katanya kepada Bernama.

Memperkasakan pemuliharaan alam sekitar

Data pengawasan kualiti air sungai pada tahun 2022 mendapati sebanyak 495 batang sungai daripada 672 sungai yang dipantau menunjukkan Indeks Kualiti Air (IKA) kategori bersih manakala 148 sungai adalah sederhana tercemar dan 29 lagi batang sungai adalah tercemar.

Secara keseluruhannya, data tersebut juga turut menunjukkan jumlah punca pencemaran di bawah Akta 127 yang tinggi namun pemeriksaan yang terhad hanya dapat dilakukan disebabkan kekurangan pegawai penguatkuasa.

Oleh itu, pihak JAS melihat ada keperluan mendesak untuk menambah perjawatan keanggotaan pegawai penguatkuasa yang kini hanya seramai 1,119 orang.

"Dengan peningkatan kes pencemaran saban tahun, amat wajar kerajaan mempertimbangkan penambahan penguatkuasa JAS dalam menangani isu alam sekitar kerana kami juga dipertanggungjawabkan untuk memastikan 89 seksyen, 18 peraturan dan 15 perintah di bawah akta tersebut dipatuhi.

"Ini merangkumi kawalan pencemaran industri, bukan industri ataupun sektor domestik, projek pembangunan dan pelepasan daripada kenderaan bermotor,” katanya.

Sebagai antara satu badan penguatkuasa alam sekitar, beliau menegaskan JAS sentiasa berusaha menjalankan penguatkuasaan secara berkala ke atas kilang-kilang yang tertakluk di bawah Akta 127 dan antara tindakan dilakukan adalah pelaksanaan Ops Gempur.

Operasi ini memberi fokus kepada penguatkuasaan industri yang berisiko menyebabkan pencemaran selain JAS turut mengadakan pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran pemilik kilang terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar.

"Pindaan Akta 127 ini memberi isyarat jelas kerajaan serius menangani isu pencemaran yang dilakukan oleh penjenayah alam sekitar yang bukan sahaja menjejaskan ekosistem alam sekitar tetapi juga kepada kualiti kesihatan manusia,” katanya. - Bernama