Kes bunuh: Tiga sahabat menangis terlepas hukuman gantung

Mahkamah Persekutuan pada Khamis melepas dan membebaskan daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang mana mayatnya masih belum ditemui.
Mahkamah Persekutuan pada Khamis melepas dan membebaskan daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang mana mayatnya masih belum ditemui.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiga rakan menangis apabila Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis melepas dan membebaskan daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang mana mayatnya masih belum ditemui.

Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan rayuan akhir Mohd Zulhiami Md Darus, 37, Siti Nor Asiah Abdul Wahab, 32 dan Muhammad Rahmat Nazarudin, 29, untuk mengetepikan dua keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayuan yang sebelum ini menjatuhi gantung sampai mati.

Ketika memutuskan keputusan berkenaan, Tengku Maimun berkata, Mohd Zulhiami, Siti Nor Asiah dan Muhammad Rahmat selaku perayu, telah menimbulkan beberapa isu.

"Setelah mendengar hujahan semua pihak dan meneliti alasan kehakiman serta rekod rayuan, kami berpuas hati keseluruhan perbicaraan berlangsung dalam cara yang tidak menepati undang-undang.

"Hal ini memprejudiskan perayu-perayu hingga mengakibatkan sabitan tidak selamat, maka kami membenarkan rayuan dan ketiga-tiga perayu dilepas dan dibebaskan," kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Datuk Abu Bakar Jais.

Sebelum ini, Mohd Zulhiami dan Siti Nor Asiah didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat membunuh Mohammad Fairul Haqiemie, 21, (ketika kejadian) di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Yusof Shahbudin 3 Taman Sentosa Klang, antara jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi pada 29 Ogos 2016.

Muhammad Rahmat turut didakwa membunuh Mohammad Fairul Haqiemie pada jam 4 pagi, di lokasi dan hari sama.

Bagaimanapun, selepas pertuduhan dipinda, Mohd Zulhiami dan Siti Nor Asiah didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat untuk membunuh Mohammad Fairul Haqimmie, 21, tempat sama jam 4 pagi pada 30 Ogos 2016.

Artikel Berkaitan:

Mohd Zulhiami dan Siti Norsiah mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 kanun sama sementara Muhammad Rahmat pula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent hadir bagi mewakili Siti Nor Asiah manakala Kitson Foong dan Fahri Azzat masing-masing untuk Mohd Zulhiami Muhammad Rahmat.

Responden pula diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Parvin Hameedah Mohd Khaja dan Aida Khairuleen Azli.

Pada 24 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor menjatuhi semua tertuduh hukuman gantung sampai mati selepas didapati mereka bersalah atas pertuduhan tersebut.

Pada 14 April 2022, Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan hukuman itu selepas panel-panel hakim sebulat suara menolak rayuan mereka.