Pembinaan Masjid Kota Warisan perlu disegerakan tampung limpahan jemaah

Mohd Nordin (kanan) bersama jawatankuasa pembinaan Masjid Kota Warisan.
Mohd Nordin (kanan) bersama jawatankuasa pembinaan Masjid Kota Warisan.
A
A
A

SEPANG - Jumlah penduduk yang meningkat saban tahun memerlukan pembinaan Masjid Kota Warisan di sini perlu disegerakan.

Bendahari Jawatankuasa Pembinaan Masjid Kota Warisan, Datuk Mohd Nordin Mohamad berkata, kawasan itu tiada masjid sejak 20 tahun lalu dan hanya disediakan dua surau bertaraf solat Jumaat.

Menurutnya, surau sedia ada sudah tidak mampu menampung kariah yang melimpah hingga ke kawasan parkir setiap kali solat Jumaat.

"Disebabkan itu, kami di pihak jawatankuasa mahu pembinaan masjid ini dilaksanakan. Masjid paling dekat dengan kawasan kami adalah di KLIA iaitu kira-kira empat kilometer dari sini.

"Dengan kepadatan penduduk yang ada sekarang ini, surau sedia ada sudah tidak mampu menampung penduduk yang kini mencecah 32,000 orang," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, jumlah penduduk dijangka terus meningkat susulan kawasan tersebut dikelilingi pembangunan.

"Dijangka menjelang 2030, dijangka penduduk di Kota Warisan akan mencecah hingga 100,000 orang. Justeru, masjid perlu didirikan sebelum tempoh tersebut.

"Kami letak sasaran projek pembinaan masjid dapat dimulakan hujung tahun depan sejurus kutipan RM12.5 juta berjaya dikumpulkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ilustrasi cadangan pembinaan Masjid Kota Warisan.
Ilustrasi cadangan pembinaan Masjid Kota Warisan.

Mengulas lanjut, katanya, gerak kerja pembinaan masjid tersebut telah dimulakan sejak tahun lepas dan berjaya mengumpul sejumlah RM5.1 juta setakat ini.

"Jumlah keseluruhan kos membabitkan RM25 juta. Kami perlu sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah itu iaitu RM12.5 juta bagi membolehkan pembinaan masjid dimulakan.

"Projek ini tiada masalah bagi pembinaan kerana telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Agama Islam Daerah (PAID), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Perbadanan Wakaf Selangor serta agensi berkaitan," ujarnya.

Malah katanya, tanah seluas 3.03 ekar bagi tapak pembinaan masjid ini juga telah diwartakan oleh kerajaan negeri.

Ujarnya, cadangan masjid dua tingkat itu dijangka mampu memuatkan sehingga 3,000 jemaah dan turut akan diwujudkan kelas Kafa selain kemudahan lif, dewan komuniti serta kuarters dan pejabat pengurusan kakitangan.

Justeru beliau berharap sasaran kutipan mampu dicapai bagi membolehkan projek dapat dijalankan mengikut perancangan.

"Sejak dilancarkan infak dana pembinaan masjid ini, sambutan diterima daripada orang awam amat menggalakkan sehingga berjaya mengumpul RM5. 1 juta dalam tempoh setahun.

"Kami juga akan bergerak ke masjid dan surau di seluruh Selangor secara mingguan untuk kutipan dana ini yang telah mendapat kebenaran JAIS," katanya.

Orang awam yang berminat untuk menyalurkan sumbangan bagi dana masjid berkenaan melalui akaun Affin Bank 1066 2001 1331 atau melalui dana wakaf RM200 untuk satu lot.