Dua sahabat cemas lihat harimau belang 'berehat' di tepi jalan

Mohd Saiful Anuar berkongsi pengalamannya melihat harimau belang di laluan Lojing-Gua Musang di Facebook.
Mohd Saiful Anuar berkongsi pengalamannya melihat harimau belang di laluan Lojing-Gua Musang di Facebook.
A
A
A

GUA MUSANG - Dua sahabat cemas selepas melihat seekor harimau belang sedang 'berehat' di tepi jalan Lojing-Gua Musang di sini pada Ahad malam.

Kejadian jam 10.30 malam itu disedari oleh Mohd Saiful Anuar Abdul Hadi, 28, yang ketika itu berada di sebelah tempat duduk penumpang hadapan kereta dipandu oleh rakannya.

Mohd Saiful Anuar berkata, selepas melihat kelibat haiwan karnivor itu dia terus bertanya kepada rakannya untuk mendapatkan pengesahan.

"Bagaimanapun, kawan saya memaklumkan dia tidak melihat dengan jelas kelibat pak belang itu kerana fokus memandu.

"Sebaik sahaja sampai di rumah kawan saya di Gua Musang, kami terus memeriksa rakaman kamera papan pemuka kereta dan mendapati apa yang saya lihat itu adalah harimau," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ujarnya, sebelum itu dia dan rakan singgah di Masjid Lojing untuk menunaikan solat jamak dan kemudian meneruskan perjalanan.

Media tempatan sebelum ini melaporkan pada 14 November lalu, seorang pemuda mengalami kecederaan di muka dan kaki selepas dipercayai merempuh seekor harimau belang ketika menunggang motosikal di Jalan Gua Musang-Jeli.

Pemilik kebun, Muhammad Zulhilmi Mokhtar, 26, berkata, detik cemas tersebut berlaku kira-kira jam 9.30 malam apabila haiwan tersebut secara tiba-tiba keluar dari kawasan semak di bahagian kanan jalan dan merempuh bahagian tayar hadapan motosikal yang ditungganginya.

Artikel Berkaitan: