Pengurus syarikat rugi setengah juta ditipu main saham

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang pengurus sebuah syarikat swasta mengalami kerugian RM598,680 akibat terpedaya dengan sindiket penipuan pelaburan saham dalam talian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada mangsa berusia 39 tahun, pada Selasa.

"Mangsa mendakwa telah berkenalan dengan seorang perempuan warga tempatan dalam urusan pelaburan saham dalam talian.

"Suspek kemudian mengajak pengadu menyertai pelaburan dari sebuah syarikat yang menjanjikan pulangan lumayan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohamad Fakhrudin berkata, pengadu telah tertarik lalu membuat pembayaran sebanyak RM598,680 yang dimasukkan ke dalam beberapa akaun bank bermula 11 November hingga 14 November lalu.

"Pengadu kemudian tidak mendapat pulangan seperti yang dijanjikan, suspek memberi alasan wang telah dilarikan oleh rakannya dan keseluruhan aset telah ditahan oleh pihak polis," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih peka dengan modus operandi sindiket dan tidak terpedaya dengan pulangan lumayan dalam jangka masa singkat.

"Orang ramai perlu berhati-hati sekiranya menerima apa-apa tawaran, buat semakan terlebih dahulu kesahihan aktiviti pelaburan daripada pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan kewujudan syarikat tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: