Penjawat awam rugi RM677,565 ditipu sindiket menyamar Pos Laju

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang penjawat awam mengalami kerugian sebanyak RM677,565 selepas ditipu oleh sindiket 'phone scam' pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, mangsa merupakan lelaki berusia lingkungan 40-an telah dihubungi melalui panggilan telefon oleh seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai 'pekerja Pos Laju'.

Menurutnya, suspek telah memaklumkan mangsa kononnya terdapat satu bungkusan yang didaftarkan atas nama mangsa yang mengandungi barang terlarang iaitu lima keping kad ATM pelbagai bank.

"Pada mulanya, mangsa telah menafikan perkara tersebut namun panggilan telefon itu telah disambungkan kepada individu lain yang mengaku sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

"Individu yang menyamar sebagai pihak polis itu kemudiannya memaklumkan bahawa mangsa turut terlibat dengan kes dadah serta kes pengubahan wang haram," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, mangsa telah diminta untuk memberikan maklumat perbankan selain diminta untuk memindahkan wang bagi mengelakkan mangsa ditangkap.

"Mangsa telah melakukan beberapa transaksi pindahan wang ke enam akaun bank yang diberikan sejak 7 Jun hingga 4 Julai lalu.

"Dia hanya menyedari telah ditipu pada semalam (Isnin) setelah membuat semakan melalui aplikasi SemakMule dan mendapati kesemua enam akaun bank yang digunakan oleh suspek mempunyai rekod bersabit kes penipuan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Mohd Asri turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan sebarang panggilan telefon yang diterima daripada mana-mana individu atau agensi kerajaan serta swasta berhubung apa saja kesalahan yang disabitkan.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa sebarang siasatan yang dijalankan oleh pihak polis tidak hanya dilakukan melalui panggilan telefon.

"Polis juga tidak akan mengarahkan mana-mana individu untuk melakukan sebarang transaksi pembayaran ketika siasatan sedang dijalankan," katanya.