Perodua Myvi menanti pengunjung KUD @Putrajaya bertuah

Che Murad (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Rural Capital Berhad Hiruddin hashim bergambar di hadapan Produa Myvi yang bakal diserahkan kepada pengunjung bertuah.
Che Murad (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Rural Capital Berhad Hiruddin hashim bergambar di hadapan Produa Myvi yang bakal diserahkan kepada pengunjung bertuah.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebuah kereta Perodua Myvi menanti pengunjung Karnival Usahawan Desa (KUD) @Putrajaya yang bertuah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, setiap pengunjung hadir layak menyertai cabutan bertuah dengan mengimbas kod QR di pintu masuk utama.

"Cabutan ini akan dibuat pada hari terakhir penganjuran iaitu Ahad," katanya ketika ditemui pemberita ketika melakukan tinjauan persiapan di tapak KUD @Putrajaya di sini pada Selasa.

Menurutnya, karnival yang diadakan di Anjung Floria Presint 4 itu menyajikan keunikan suasana dan ekonomi desa kepada pengunjung dengan memperkenalkan produk pelancongan luar bandar yang menarik.

"Komponen Rural Tourism diperkenalkan khusus bagi tujuan tersebut," katanya.

Che Murad
Che Murad

Beliau berkata, komponen itu dijayakan dengan penyertaan oleh hampir semua Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) dan Program Desa Lestari serta pengenalan kepada Konsep Desa Sejahtera iaitu konsep desa ideal yang ingin diperkenalkan kepada masyarakat bandar.

"Menerusi Rural Tourism Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) pengunjung akan disajikan dengan glamping di tepian Laman Padi di samping menikmati minuman kopi produk usahawan luar bandar bimbingan KEDA," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujar Che Murad, Rural Tourism Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) pula mempamerkan Pavilion Bahtera Kejora yang mempromosikan produk tarikan pelancong di wilayah itu.

"Di samping itu terdapat Laman Kelulut dan gelanggang sukan rakyat yang memberi ruang pengunjung mengimbau kenangan lalu menerusi sepak raga, batu seremban, boling kelapa dan congkak," katanya.

Sementara itu, Rural Tourism Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pula mempamerkan Laman Herba dan Laman Cendawan dengan dimeriahkan menerusi kehadiran beca berhias serta pameran secara virtual rumah bot Tasik Kenyir.

Che Murad sedang meninjau persiapan akhir KUD @Putrajaya.
Che Murad sedang meninjau persiapan akhir KUD @Putrajaya.

Tidak ketinggalan Rural

Tourism Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mengetengahkan seni budaya negeri sebagai tarikan pelancongan luar bandar seperti persembahan Dikir Barat, pameran dan demonstrasi wau bulan dan juga persembahan gasing terbang.

KUD @ Putrajaya kali ini juga menyaksikan pelbagai jenis makanan dan masakan panas dan minuman disajikan untuk santapan para pengunjung.

Antaranya menu adalah nasi kandar, nasi dagang, murtabak, rendang maman, nasi ambeng, mee Bandung, patin masak tempoyak, pasembor, bihun sup Utara, laksam, nasi kebuli dan banyak lagi.

"Kita telah mengingatkan usahawan agar menyediakan kaedah pembayaran secara digital sama ada kod QR ataupun e-dompet," katanya.

Menyentuh mengenai persiapan, Che Murad berkata ia telah mencapai lebih 90 peratus.

"Selebihnya kita menantikan kehadiran pengunjung esok (Rabu) hari," katanya.

KUD @Putrajaya 2023 yang akan berlangsung Rabu sehingga Ahad ini dijangka akan menarik satu juta pengunjung dan RM10 juta nilai jualan serta padanan perniagaan.