Semua ketua setiausaha, jabatan diminta ambil serius teguran LKAN

Zulkapli - Foto Bernama
Zulkapli - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Semua ketua setiausaha dan jabatan diminta mengambil perhatian serius mengenai teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebagai usaha mengurangkan isu-isu ketirisan, pembaziran dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Dr Zulkapli Mohamed berkata, mereka perlu bersiap siaga dengan sebarang teguran yang akan dibentangkan di Parlimen pada bulan hadapan.

Menurutnya, selaku pegawai pengawal di setiap kementerian dan jabatan, integriti merupakan perkara utama untuk memastikan keseluruhan modal insan berada dalam organisasi itu menghayati sifat jujur serta amanah seterusnya menterjemahkan nilai-nilai murni kepada bentuk tindakan.

“Amanah dijulang, integriti dipegang dan kejujuran diserlahkan. Kita semua tidak akan sama sekali berkompromi dengan isu berkenaan, maka sebagai pegawai awam yang diberikan tanggungjawab perlu berpegang padanya.

“Ini kerana, ia adalah usaha kita bersama-sama pemimpin negara untuk memperkasakan pembangunan ekonomi sebagaimana yang digariskan dalam Kerangka Ekonomi Madani.

“Hanya dengan iltizam kukuh untuk menjauhi rasuah dan salah guna kuasa dapat melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang bermaruah serta disegani di persada antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Rabu, JPA menganjurkan Persidangan Pemerkasaan Integriti buat julung kalinya dengan tema ‘Membudaya Integriti, Memperteguh Malaysia Madani’ di Hotel Movenpick dan Pusat Konvensyen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Persidangan tersebut dilaksanakan bersama Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta dihadiri ketua-ketua setiausaha kementerian, jabatan dan agensi Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengenai persidangan, Zulkapli menambah, ia merupakan platform untuk bertukar-tukar pandangan dan mencari kaedah terbaik bagi meningkatkan aspek tata kelola dalam pelaksanaan fungsi dan tanggungjawab kementerian, jabatan atau agensi termasuk isu-isu berhubung dapatan audit serta langkah penambahbaikan.