Setahun PM Anwar: Politik Malaysia stabil, kepercayaan rakyat kepada demokrasi pulih

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah figura asing dalam politik Malaysia dan ketokohannya menerajui kepimpinan kerajaan Persekutuan dalam tempoh setahun lepas terbukti dalam melakar landskap politik baharu dan memulihkan kepercayaan rakyat kepada prinsip demokrasi.

Ahli Parlimen Tambun itu memegang tampuk kuasa pemerintahan tatkala politik tanah air berada dalam ketidaktentuan berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), julung kali menyaksikan tiada parti atau gabungan politik yang mendapat jumlah kerusi majoriti bagi membentuk kerajaan.

Kebijaksanaan Anwar, yang memimpin Pakatan Harapan (PH) berjaya meyakinkan Barisan Nasional (BN) dan parti politik Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bersama-sama menyertai pembentukan Kerajaan Perpaduan, sekali gus membawa kestabilan dan meredakan suhu politik, serta melicinkan urusan pentadbiran Putrajaya.

Penganalisis politik, Mujibu Abu Muis berkata, dalam tempoh setahun ini, Perdana Menteri ke-10 itu berjaya memimpin kerajaan pusat tanpa tekanan politik keterlaluan mahupun isu-isu berisiko yang mengganggu gugat pentadbiran negara.

"Kejayaan Anwar mengembalikan kestabilan politik bukan sahaja penting dalam meningkatkan keupayaan kerajaan membawa lebih banyak kebaikan kepada negara, malah turut memulihkan kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi yang sebelum ini dianggap sakit, tenat,” kata Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Felo Penyelidik ILHAM Centre itu kepada Bernama.

Mewarisi tampuk kepimpinan negara susulan gelora politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan negara dipimpin tiga Perdana Menteri berbeza dalam tempoh kurang empat tahun, Pengerusi PH itu awalnya dilihat berhadapan tugas sukar dalam mengemudi kestabilan bahtera Kerajaan Perpaduan.

Ramai pemerhati politik serta penganalisis, malahan pemimpin politik sendiri menjadi ahli nujum meramalkan Anwar bersama barisan Jemaah Menterinya cuma akan bertahan tiga atau empat bulan sahaja sebelum tenggelam dibadai 'gelombang hijau' yang dibawa gabungan pembangkang Perikatan Nasional (PN).

"Kerajaan-kerajaan terdahulu (pasca-PRU14) sentiasa dalam keadaan ragu-ragu mengenai keabsahan mereka. Kini, ragam politik tanpa henti itu tidak berlaku di bawah kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ada sokongan kuat di Parlimen, jadi boleh fokus sepenuhnya pada pembangunan negara," kata Mujibu.

Artikel Berkaitan:

Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November 2022, lima hari selepas PRU15 sebelum mengumumkan pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri serta 28 ahli Jemaah Menteri dalam Kerajaan Perpaduan pada 2 Disember.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Kedah, Dr Jazimin Zakaria menyifatkan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berjaya membentuk barisan kabinet dengan pengalaman luas dalam aspek pentadbiran.

"Ramai menteri 'heavy weight' dalam Kerajaan Perpaduan, ini satu bonus dan hasilnya pelbagai dasar baharu seperti Ekonomi Madani dan lain-lain yang menyentuh kepentingan serta kebajikan rakyat berjaya diperkenalkan dalam tempoh singkat satu tahun ini," katanya.

Jazimin pada masa sama menyifatkan pendekatan pentadbiran Anwar dengan menekankan prinsip tatakelola baik selain terbuka dalam menerima pandangan mahupun kritikan berjaya menambat hati rakyat yang kini menganggap suara mereka lebih didengari berbanding pentadbiran terdahulu.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Dr Azmi Hassan berkata, anak jati Cherok Tok Kun, Pulau Pinang berusia 76 tahun itu berjaya 'menggilap semula' nama negara di persada antarabangsa menerusi ucapan pada pelbagai persidangan antarabangsa yang mendapat perhatian dunia terutamanya ketika ini, yang tegas dan lantang membela nasib dan hak rakyat Palestin ekoran konflik di Gaza.

"Perdana Menteri tanpa teks, itulah Anwar," katanya sambil menggambarkan setiap ucapan pemimpin nombor satu negara itu adalah lebih telus menzahirkan apa yang dirasakan daripada hatinya sehingga acap kali mencuri tumpuan hadirin termasuk di arena global.

Dengan optik segar, dinamik dan serba baharu yang dipamerkan Anwar, Azmi berkata, tidak mustahil Kerajaan Perpaduan yang semakin matang dan kukuh ketika ini, mendapat sokongan lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang.

Setakat ini, empat Ahli Parlimen PN daripada Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri.

"Saya percaya selepas ini lebih ramai ahli Parlimen akan menyatakan sokongan kepada Anwar, ini bukan sekadar soal nak dapatkan peruntukan tetapi sifirnya surplus dan defisit yakni peningkatan keyakinan kepada kewibawaan Kerajaan Perpaduan dan hilang keyakinan kepada pimpinan PN untuk menjadi pembangkang berwibawa," katanya.

Dalam pada itu, langkah Anwar melantik dua Timbalan Perdana Menteri yang pada hemat ramai hanyalah sebagai satu gerak catur politik, sebaliknya dilihat dari perspektif berbeza oleh Felo Kanan Majlis Profesor Negara Datuk Dr Jeniri Amir.

Jeniri berpendapat selain Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pelantikan Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof melakar sejarah tersendiri dalam mengukuhkan hubungan Sabah, Sarawak dan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia.

Anwar, katanya, dalam tempoh singkat berjaya membawa perkembangan baik dalam aspek melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sesuatu yang gagal direalisasikan pemimpin terdahulu.

"Beliau tunjuk komitmen paling jelas dalam soal MA63 ini, ada yang telah selesai, ada dalam perbincangan, dan ini sangat bagus, malah dalam Belanjawan 2024 peruntukan besar bagi Sabah dan Sarawak, selain peruntukan interim. Ini untuk kurangkan kesenjangan pembangunan, bukan sahaja antara bandar dan luar bandar di dua Wilayah ini, malah dengan Semenanjung.

"Anwar betul-betul tekad mahu rapatkan jurang itu termasuk jurang politik, infrastruktur, pendidikan, sosial dan ekonomi serta budaya ke arah integrasi yang lebih mantap bagi memungkinkan nilai Madani itu dapat direalisasikan," katanya.

Menurut Jeniri, Madani bukanlah sekadar satu slogan kosong yang dilaungkan Anwar, sebaliknya benar-benar diterjemahkan dalam pentadbirannya, malah terbukti dalam tempoh singkat berjaya menghapuskan persepsi negatif rakyat Sabah dan Sarawak yang selama ini sering berasa terpinggir dan dianaktirikan oleh kerajaan Persekutuan.

"Saya percaya (Datuk Seri) Fadillah Yusof dilantik juga untuk memberi penumpuan, menjadi pemudah cara kepada penyelesaian hal-hal berkaitan Sabah, Sarawak kerana dengan pengalaman berada dalam dan luar kerajaan, pasti (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tahu perlunya ada 'orang tempatan' menguruskannya," kata beliau. - Bernama