Pengantin warga emas bersanding atas rakit promosi Kg Jawang

Persandingan unik Meor Shamsuddin dan isteri di atas rakit di Sungai Perak itu tular di media sosial.
Persandingan unik Meor Shamsuddin dan isteri di atas rakit di Sungai Perak itu tular di media sosial.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Pasangan pengantin warga emas yang mencari kelainan memilih bersanding di atas rakit di Sungai Perak di sini Ahad lalu, bukan sekadar ingin mengabadikan kenangan terindah mereka, tetapi turut mempromosikan Kampung Jawang sebagai tarikan pelancongan.

Persandingan unik pasangan Meor Shamsuddin Meor Mohamed, 61, dan Che Mah Abdul Rahman, 57, di atas rakit di Sungai Perak itu tular di media sosial dengan ada yang memuji dan ada yang juga mengkritik kerana dikatakan berbahaya.

Mengulas perkara itu, Meor Shamsuddin berkata, mereka bukan hendak menunjuk-nunjuk tetapi mahu ketengahkan kampung itu kerana ia berdekatan dengan Sungai Perak dan Kem Lang Buana yang menjadi pusat rekreasi di kampung itu.

Pasangan pengantin Meor Shamsuddin dan isterinya Che Mah Abdul Rahman yang bersanding di atas rakit di Sungai Perak di Ahad lalu. - Foto Bernama
Pasangan pengantin Meor Shamsuddin dan isterinya Che Mah Abdul Rahman yang bersanding di atas rakit di Sungai Perak di Ahad lalu. - Foto Bernama

Meor Shamsuddin yang merupakan duda berkata, perkahwinan kali keduanya dengan Che Mah, juga seorang janda, turut mendapat sokongan seluruh ahli keluarga selepas beliau memaklumkan hasrat untuk majlis persandingannya itu.

“Pada mulanya isteri saya bimbang kerana takut apabila bersanding di atas rakit, namun saya cakap ini merupakan satu kelainan yang tidak pernah dibuat oleh pasangan lain,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menurut Meor Shamsuddin yang juga pengajar di sebuah sekolah memandu di Lubuk Merbau, beliau membayar RM250 untuk penduduk kampung membuat rakit menggunakan buluh dan pelampung tayar sepanjang 4.57m dan lebar 1.22m.

“Saya juga ada fikir tentang bahaya, tetapi kami memakai jaket keselamatan dan kawasan Sungai Perak di kampung itu airnya tidak dalam,” katanya yang membelanjakan RM20,000 untuk majlis jamuan di jeti Kampung Pasir Kandang dekat sini.

Artikel Berkaitan:

Pembuat rakit Meor Mohamad Mansor Meor Ab Salim, 61, menarik rakit sepanjang 4.57 meter dan lebar 1.22 meter yang digunakan oleh pasangan pengantin warga emas ketika bersanding di atas rakit itu di Sungai Perak pada 22 Disember lepas. - Foto Bernama

Katanya, rakit persandingannya dikawal oleh tiga penduduk dan diiringi tujuh bot termasuk satu bot pemain kompang bermula dari jeti Kampung Jawang hingga ke Jeti Kampung Pasir Kandang sejauh 700 meter.

Sementara itu, Che Mah berkata, dia pada mulanya takut untuk bersanding di atas rakit kerana bimbang terbalik namun memberanikan diri selepas diberikan kata-kata semangat oleh suami.

Kedua-dua pasangan itu tidak mempunyai anak hasil daripada perkahwinan terdahulu. - Bernama