KKR siasat jalan lubang ragut nyawa di Meru

Rakaman memaparkan mangsa yang terjatuh selepas melanggar lubang di lampu isyarat Batu 5, Meru di Klang sebelum digilis treler dalam kejadian pada Sabtu.
Rakaman memaparkan mangsa yang terjatuh selepas melanggar lubang di lampu isyarat Batu 5, Meru di Klang sebelum digilis treler dalam kejadian pada Sabtu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang menjalankan siasatan dan laporan terperinci mengenai kemalangan membabitkan seorang kerani yang maut digilis treler selepas terlanggar lubang besar di Batu 5, Jalan Meru, Klang pada Sabtu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, isu berkaitan pampasan kepada keluarga mangsa juga dibincangkan selepas laporan tersebut diperoleh.

"KKR bersimpati dengan pihak terlibat dalam kemalangan berkenaan dan perkara ini akan disiasat dengan teliti," katanya ketika ditemui pada Majlis Pembukaan Seksyen 6 Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di Plaza Tol Assam Jawa di sini pada Isnin.

Nanta (tengah) ditemui selepas Majlis Pembukaan Seksyen 6 Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di Plaza Tol Assam Jawa di sini pada Isnin.
Nanta (tengah) ditemui selepas Majlis Pembukaan Seksyen 6 Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) di Plaza Tol Assam Jawa di sini pada Isnin.

Ditanya mengenai tindakan undang-undang yang bakal diambil keluarga mangsa, Nanta memberitahu, perkara itu terpulang kepada pihak terbabit.

Mengulas mengenai kejadian itu berpunca akibat jalan rosak sejak tiga tahun lalu, Nanta memberitahu, beliau tidak mengetahui dakwaan terbabit.

"Saya tidak tahu perkara itu rosak dan kita tunggu siasatan dilakukan," ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya memang akan melakukan turapan jalan yang rosak menerima sistem aduan MyJalan.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, kita sudah menerima kira-kira 4,000 aduan berkaitan masalah jalan di seluruh negara.

"Faktor Monsun Timur Laut juga mungkin antara faktor jalan menjadi rosak," katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, keadaan jalan teruk dan tidak rata di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru mendatangkan kebimbangan kepada pengguna jalan raya lain.

Keadaan turapan jalan itu disifatkan sebagai tangkap muat boleh merisikokan pengguna khususnya penunggang motosikal yang melalui kawasan itu.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga sedang memperhalusi permintaan semua 18 syarikat konsesi yang menguruskan 33 konsesi lebuh raya yang mahu kerajaan memberi pampasan secara tunai dan bukan rebat cukai bagi sembilan hari yang diwartakan sebagai hari tol percuma setiap tahun.

"Sebelum ini memang ada perundingan dan perbincangan, namun apabila mereka membuat tuntutan sebegini ia perlu diperhalusi di peringkat agensi berkaitan," katanya.