Turapan 'tahi lembu' risikokan pengguna jalan raya

Pemerhatian dijalankan mendapati keadaan turapan tidak sempurna selain terdapat batu-batu kesan daripada turapan dijalankan. Gambar kecil dari kiri: Ibrahim, Aziz
Pemerhatian dijalankan mendapati keadaan turapan tidak sempurna selain terdapat batu-batu kesan daripada turapan dijalankan. Gambar kecil dari kiri: Ibrahim, Aziz
A
A
A

KLANG - Keadaan jalan yang teruk dan tidak rata sehingga menjadi lokasi kemalangan maut seorang kerani selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang sebelum terjatuh dan digilis lori treler di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, di sini pada Sabtu, mendatangkan kebimbangan kepada pengguna jalan raya lain.

Keadaan turapan jalan yang disifatkan sebagai tangkap muat itu boleh merisikokan pengguna khususnya penunggang motosikal yang melalui kawasan itu.

Seorang penunggang motosikal, Aziz Abdullah, 27, berkata, keadaan jalan di sekitar lokasi berkenaan sememangnya agak teruk dengan keadaan yang tidak rata serta berlubang.

"Saya sendiri sudah beberapa kali hampir terjatuh selepas terlanggar lubang ketika melalui jalan berdekatan lampu isyarat berkenaan.

"Mujur ketika itu, saya sempat mengawal motosikal daripada terbabas, saya lihat agak lama keadaan jalan ini sebegini.

"Saya pelik mana pihak yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk baiki keadaan jalan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Aziz turut terkilan apabila mendapati turapan jalan dilakukan sekadar tangkap muat walaupun lokasi itu sudah meragut nyawa sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Seorang kerani maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang sebelum terjatuh dan digilis lori treler di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, Klang pada Sabtu.
Seorang kerani maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang sebelum terjatuh dan digilis lori treler di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, Klang pada Sabtu.

"Ingatkan dah jadi kemalangan maut, mungkin ada buat turapan lebih kemas, tapi sebaliknya berlaku, diturap sekadar meletakkan campuran tanah dan batu, yang mana pada saya memang tak akan tahan.

"Sebelum ini, lubang pada jalan ini ditakungi air, sepatutnya kena kemaskan turapan, mungkin kenderaan lain kurang terkesan, tapi kami para penunggang motosikal, memang sangat berbahaya terutamanya pada hari hujan," katanya.

Penunggang motosikal yang mahu dikenali sebagai Ibrahim Abdul Rahman, 25, berkata, kemalangan sudah beberapa kali berlaku di lokasi berkenaan.

"Sudah beberapa kali kemalangan terjadi dan kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal, dengan keadaan jalan yang tidak rata sekali gus merisikokan penunggang.

"Memang ada tampalan baharu pada lubang telah dilakukan, namun jelas tampalan ini sangat tidak kemas, bagi saya bukan lagi baik malah burukkan lagi keadaan jalan," katanya.

Katanya, keadaan turapan sebegini seolah-olah menganiaya para penunggang motosikal.

"Laluan di lokasi kemalangan terbabit agak sempit dan ditambah pula dengan keadaan jalan yang berlubang, jadi bila ditampal dengan tidak kemas, bimbang kalau hujan akan berlopak semula.

"Kami para penunggang motosikal juga pengguna jalan raya, jangan aniayai kami dengan buat kerja macam ini, ini melibatkan risiko nyawa, bukan perkara yang main-main," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati lopak yang terdapat di sekitar lokasi kemalangan sudah ditampal dengan turapan.

Selain itu, pemerhatian dijalankan mendapati keadaan turapan tidak sempurna selain terdapat batu-batu kesan daripada turapan dijalankan.

Sementara itu, Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi atau mesra dengan panggilan Lando Zawawi berkata, turapan sedemikian layak digelar sebagai turapan tahi lembu.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati lopak yang terdapat di sekitar lokasi kemalangan sudah ditampal dengan turapan dipercayai tanah dan batu.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi kejadian mendapati lopak yang terdapat di sekitar lokasi kemalangan sudah ditampal dengan turapan dipercayai tanah dan batu.

"Memang agak kasar bunyinya, namun melihatkan keadaan pada cara pembaikan lubang yang dijalankan, begitulah perumpamaan yang dapat digambarkan.

"Pembaikan menerusi turapan baharu perlu dilaksanakan dengan kemas selain mengikut piawaian ditetapkan, sepatutnya gunakan bahan yang tahan, bukan sekadar main turap sahaja," katanya.

Beliau mendakwa, keadaan tersebut berlaku kerana pihak bertanggungjawab tidak mahu berbincang soal penyelesaian yang tuntas.

"Saya cadangkan semua pihak berkaitan duduk semeja berkaitan isu kerosakan jalan ini, kita faham ada bahagian yang mungkin bukan di bawah bidang kuasa mereka, namun itu bukan alasannya.

"Duduk dan berbincang cari penyelesaian, sebab apa yang berlaku ini melibatkan soal nyawa manusia, kita mahu penyelesaian terbaik untuk semua pihak," katanya yang juga merupakan Penasihat Mangsa-mangsa Kemalangan Malaysia.

Pada Sabtu, seorang kerani maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang sebelum terjatuh dan digilis lori treler di lampu isyarat Batu 5, Jalan Meru, di sini.

Difahamkan mangsa, Syed Asnan Sayed Mokhtar, 37, dalam perjalanan dari Shah Alam ke tempat kerjanya di Pelabuhan Utara, Klang.