[VIDEO] Selamatkan keluarga dalam kebakaran, Altamis terima pingat Hang Tuah

A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang murid Tahun Tiga, Altamis Faiz Shahrullizam dianugerahkan pingat Hang Tuah atas keberaniannya menyelamatkan enam anggota keluarga yang terperangkap dalam kebakaran pada 4 September lalu.

Anugerah disampaikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023, pada Isnin.

Anugerah disampaikan sebagai pengiktirafan kepada kanak-kanak yang menunjukkan keberanian cemerlang, terutama semasa insiden seperti menyelamatkan nyawa orang ramai atau harta benda sewaktu kes kecemasan, bencana dan kemalangan.

Altamis Faiz (tengah) bergambar bersama ibu dan bapanya selepas menerima pingat Hang Tuah sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di Johor Bahru pada Isnin.
Altamis Faiz (tengah) bergambar bersama ibu dan bapanya selepas menerima pingat Hang Tuah sempena sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di Johor Bahru pada Isnin.

Altamis Faiz berkata, dia masih terbayang detik ketika mendukung adik bongsu berusia tiga tahun sewaktu kebakaran berlaku di rumah teres dua tingkat di Bandar Sri Coafields, Selangor pada jam 4 pagi.

"Saya terjaga daripada tidur selepas terhidu bau asap dari bilik di tingkat atas. Saya keluar dari bilik dan tengok asap sudah memenuhi ruang di tingkat bawah.

Artikel Berkaitan:

Altamis Faiz (empat dari kanan) menerima pingat Hang Tuah disampaikan Nancy (tiga dari kanan) pada Majlis sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat Kebangsaan 2023 di Johor Bahru pada Isnin.
Altamis Faiz (empat dari kanan) menerima pingat Hang Tuah disampaikan Nancy (tiga dari kanan) pada Majlis sambutan Hari Kanak-Kanak peringkat Kebangsaan 2023 di Johor Bahru pada Isnin.

"Walaupun takut, saya beranikan diri turun ke bawah dan ambil kunci rumah. Saya segera kejutkan ayah Ezrin Baharuddin, 49, ibu Fazreen Ismail, 39 dan kemudian dukung adik berusia tiga tahun keluar dari rumah," katanya.

Mengenai keberaniannya, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman Desa Coafields itu berkata, ia hasil didikan ayahnya dengan ilmu persilatan.

"Saya belajar supaya tidak panik ketika kebakaran menerusi tontonan satu siri animasi Upin Ipin yang menerangkan langkah-langkah untuk menyelamatkan diri ketika kebakaran," katanya.

Sementara itu, Fazreen berkata, dia tidak menyangka anak kedua daripada lima beradik itu sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan keluarga dalam keadaan api yang marak.

"Altamis Faiz merupakan anak bertanggungjawab dan mempunyai sikap pemimpin kepada tiga orang adik yang masih kecil.


Altamis Faiz (dua dari kiri) bergambar bersama penerima anugerah sempena sambutan Hari Kanak-kanak peringkat Kebangsaan di Johor Bahru pada Isnin.
Altamis Faiz (dua dari kiri) bergambar bersama penerima anugerah sempena sambutan Hari Kanak-kanak peringkat Kebangsaan di Johor Bahru pada Isnin.

"Dia kini menjadi kebanggaan keluarga malah membuatkan kami sekeluarga terharu di atas anugerah yang diberikan ini," katanya.

Anugerah Pingat Hang Tuah diperkenalkan pada 1960 dan diberikan kepada tokoh kanak-kanak negara berdasarkan keberanian luar biasa mereka.