Peserta Himpunan Selamatkan Syariah solat hajat berjemaah

Peserta Himpunan Selamatkan Syariah menunaikan Solat Hajat di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Peserta Himpunan Selamatkan Syariah menunaikan Solat Hajat di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Ribuan peserta yang menghadiri Himpunan Selamatkan Syariah menunaikan solat hajat berjemaah di hadapan Istana Kehakiman di sini kira-kira jam 9 pagi tadi.

Solat hajat tersebut dilakukan untuk mendoakan berhubung keputusan prosiding pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya untuk mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Biarpun terpaksa berpanas, peserta tidak berganjak sebaliknya tetap tenang dan khusyuk menunaikan solat hajat yang diimamkan oleh Ketua Dewan Ulamak Pas Kedah, Syeikh Radhi Abd Rahman.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad berkata, solat hajat tersebut dilakukan untuk menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan syariat islam yang wajib dipertahankan bukan sahaja dengan harta malah nyawa.

"Doakan keputusan hari ini memihak kepada umat Islam yang mahukan Islam diamal dan dilaksanakan secara syumul (menyeluruh).

"Malah ia bukan Islam yang dipengaruhi sekularisme dan warisan penjajah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian peserta Himpunan Selamatkan Syariah mengaminkan doa selepas solat hajat berjemaah di hadapan Istana Kehakiman di sini kira-kira jam 9 pagi pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Sebahagian peserta Himpunan Selamatkan Syariah mengaminkan doa selepas solat hajat berjemaah di hadapan Istana Kehakiman di sini kira-kira jam 9 pagi pada Isnin. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

MB Kelantan, Nik Elin Zurina tiba di mahkamah

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud tiba di Istana Kehakiman, di sini bagi mengikuti prosiding pendengaran petisyen difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan.

Mohd Nassuruddin tiba jam 9 pagi diiringi oleh beberapa individu.

Sebelum itu, Nik Elin Zurina dan beberapa peguam pasukannya juga dilihat tiba jam 8.40pagi tadi.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat akan mendengar hujahan pihak-pihak yang dinamakan sebagai sahabat mahkamah atau Amicus Curiae dalam prosiding yang bermula 17 Ogos lalu.

Mohd Nassuruddin (depan tengah) bersama beberapa individu tiba di mahkamah bagi mengikuti prosiding petisyen difailkan oleh peguam Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan pada Isnin.

Mereka ialah Sisters In Islam (SIS); Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Nik Elin Zurina memohon Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan supaya 20 seksyen kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 terbatal dan tidak sah.

Peruntukan itu termasuk Seksyen 11 (memusnahkan tempat ibadat), Seksyen 13 (menjual atau memberi anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya) dan Seksyen 14 (liwat).

Peruntukan lain termasuk Seksyen 15 (hukuman liwat), Seksyen 16 (seks dengan mayat), Seksyen 17 (seks dengan bukan manusia) dan Seksyen 31 (gangguan seksual).