PBJM beri bayangan landskap baharu bola jaring

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Alwiyah
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Alwiyah
A
A
A

PERSATUAN Bola Jaring Malaysia (PBJM) memberi bayangan untuk mewujudkan satu blueprint atau rangka kerja komprehensif bagi meletakkan sukan tersebut berstatus profesional dan digeruni di pentas Asia.

Presidennya, Alwiyah Talib memberitahu, langkah tersebut masih di peringkat awal sebelum ia diperhalusi dengan teliti agar perancangan tersebut realistik untuk dicapai.

Beliau berkata, bagi menjayakan sasaran itu, pihaknya mengharapkan sokongan pelbagai pihak bagi membentuk satu gabungan mantap untuk memperoleh idea yang berkesan.

“Memang inilah harapan PBJM. Terima kasih kepada pimpinan Kementerian Belia dan Sukan yang diterajui Hannah Yeoh.

“Beliau amat prihatin dengan pembangunan bola jaring dari akar umbi hingga ke peringkat kebangsaan dan Asia,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Sukan Sinar pada 14 November lalu melaporkan kehangatan Netball Super League (NSL) 2023 yang dimeriahkan dengan kehadiran 11 pemain import mungkin boleh membuka dimensi baharu sukan tersebut ke arah liga profesional pada masa depan.

Bekas pemain bola jaring negara, Husna Hussin Ali melihat idea itu sebagai bukan mudah, namun tidak mustahil dilaksanakan menerusi sokongan pelbagai pihak termasuk di peringkat nasional.

Malah beliau juga optimis keupayaan Malaysia yang mampu menghasilkan pemain yang bertaraf dunia dan profesional kerana skuad kebangsaan pernah bertanding pada kejohanan dunia dan Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur pada 25 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Alwiyah memberitahu, PBJM juga aktif berkolaborasi bersama Majlis Sukan Negara (MSN) menjayakan Program Pembangunan Bola Jaring Negara (NNDP) di peringkat akar umbi.

“Semua Zon (Selatan, Timur, Tengah, Utara, Sabah dan Sarawak) telah mengadakan kejohanan di zon masing-masing. Ia melibatkan peringkat umur bawah 14 tahun (B-14) dan B-17.

“Bagi peringkat kebangsaan pula ialah Kejohanan Bola Jaring PLD (Pusat Latihan Daerah) akan diadakan di Johor Bahru bermula 3 hingga 5 Disember ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, PBJM turut mengadakan Kursus Kejurulatihan dan Pengadilan Level Pengenalan dengan kerjasama Persatuan Bola Jaring negeri-negeri.

“Baru-baru ini, saya sempat hadir Kursus Pengadilan Level Pengenalan di Kota Kinabalu Sabah. PBJM berharap lebih ramai jurulatih dan umpire yang ada sijil demi memartabatkan bola jaring negara,” katanya.