NSL musim depan lebih mengujakan

Aksi pemain Jewels, Nurfariha Abdul Razak (kanan) ketika menentang Wildcats dalam perlawanan akhir NSL 2023 di Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Facebook NSL (Gambar kecil: Alwiyah)
Aksi pemain Jewels, Nurfariha Abdul Razak (kanan) ketika menentang Wildcats dalam perlawanan akhir NSL 2023 di Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Facebook NSL (Gambar kecil: Alwiyah)
A
A
A

LIGA Super Bola Jaring (NSL) edisi keempat musim depan bakal diwarnai dengan aksi yang lebih menarik dan mengagumkan menerusi kemungkinan tambahan pasukan yang bertanding.

Bayangan itu diberikan oleh Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) Alwiyah Talib yang berharap penganjuran kejohanan tersebut menampilkan kelainan dalam setiap edisi.

Beliau berkata, cadangan mengenai perkara itu akan dibincangkan dengan Astro dalam usaha untuk memastikan kejohanan tersebut berjalan dengan lebih baik dan mengujakan.

“Penganjuran tahun pertama pada 2021 sebagai permulaan untuk percubaan, edisi kedua berlaku penambahbaikan dan musim ketiga 2023 lebih menakjubkan menerusi kehadiran pemain import.

“Mungkin kita akan tambah penyertaan daripada lapan kepada 10 atau 12 pasukan. Kejohanan juga mungkin diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri pada Mei.

"Apapun segala keputusan akan dimuktamadkan selepas berbincang dengan Astro,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Edisi ketiga NSL berakhir pada Ahad dengan menyaksikan Johor Jewels mempertahankan kejuaraan setelah menewaskan KL Wildcats 47-43 dalam aksi final di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Sebagai rekod musim ketiga NSL 2023 melibatkan penyertaan KL Wildcats, Johor Jewels, Pahang Tulips, Selangor Angels, Negeri Sembilan Venoms, Perak Phoenix, Putrajaya Dynamites dan Terengganu Marvels.

Alwiyah turut meluahkan rasa gembira dengan penganjuran kali ini menerusi persiapan rapi yang dibuat setiap pasukan termasuk mencari penaja, selain membawa pemain import.

Artikel Berkaitan:

“KL Wildcats misalnya mengambil dua pemain import dari Uganda, begitu juga dengan beberapa pasukan lain turut mengambil tenaga dari luar negara,” katanya.

Justeru beliau berkata, setelah berakhir edisi ketiga musim ini, setiap negeri sudah boleh bersedia lebih awal bagi mempersiapkan pasukan mereka agar lebih mantap tahun depan.

“Pasukan boleh merancang untuk musim akan datang dengan lebih awal kerana selain NSL banyak lagi kejohanan di peringkat kebangsaan dan akar umbi,” katanya.

Sebagai rekod, Sinar Harian menjadi Rakan Media Rasmi edisi ketiga kali ini.