Ambil iktibar perpecahan negara Arab - DPMP

Zahar (duduk, lima dari kanan) bersama sukarelawan DPMP selepas Program CSRDPMP di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Muroh pada Sabtu.
Zahar (duduk, lima dari kanan) bersama sukarelawan DPMP selepas Program CSRDPMP di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Muroh pada Sabtu.
A
A
A

LUMUT - Masyarakat Islam khususnya orang Melayu di negara ini perlu mengambil iktibar perpecahan berlaku dalam kalangan negara Arab yang merugikan umat Islam sekali gus tidak dapat membela nasib rakyat di Palestin.

Presiden Dewan Perhimpunan Melayu Perak (DPMP), Datuk Zahar Hashim berkata, perpecahan itu menyebabkan orang Islam tidak kuat biarpun memiliki kekayaan serta aset ketenteraan yang hebat.

Menurutnya, umat Islam di negara ini perlu sedar keadaan itu dan kembali bersatu hati tanpa mengira fahaman parti untuk menjadi kuat serta dihormati.

"Orang Melayu Islam di negara ini perlu mengenepikan pegangan politik masing-masing dan bersatu atas nama Islam untuk memastikan orang Islam kuat.

"Semua parti politik yang diterajui orang Melayu Islam tidak seharusnya menjadi pemecah belah masyarakat sebaliknya membawa kepada penyatuan terutama dalam isu melibatkan kepentingan Islam," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) DPMP di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Muroh di sini pada Sabtu.

Zahar (dua dari kiri) turut menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Program CSR DPMP di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Muroh pada Sabtu.
Zahar (dua dari kiri) turut menyampaikan sumbangan kepada penerima sempena Program CSR DPMP di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Muroh pada Sabtu.

Sementara itu, Zahar menegaskan, sudah sampai masanya pemimpin Islam di negara ini bersatu memikirkan usaha memperkukuh ekonomi masyarakat Islam bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.

Menurutnya, kempen boikot yang sedang dilaksanakan seluruh dunia harus diambil peluang oleh usahawan Islam untuk mempromosikan produk mereka.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, peluang yang ada perlu direbut bagi memastikan ekonomi umat Islam boleh terus berkembang sekaligus membantu usahawan kecil dan sederhana.

Mengenai program CSR DPMP, Zahar menjelaskan ia merupakan yang keempat dianjurkan pada tahun ini bagi membantu meringankan beban golongan kurang bernasib baik.

Beliau berkata, seramai 60 penerima terpilih dalam kalangan penduduk setempat diberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan dengan nilai keseluruhan program RM10,000