LTAT berjaya lonjak prestasi, imej memberangsangkan

A
A
A

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan melancarkan gimik perasmian Majlis Pengumuman Dividen 2022 LTAT dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Aplikasi MyWira di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Mac lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan melancarkan gimik perasmian Majlis Pengumuman Dividen 2022 LTAT dan Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah Aplikasi MyWira di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Mac lalu.

Ditubuhkan sejak 52 tahun lalu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah berjaya melaksanakan mandat kewujudannya untuk mengadakan faedah persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di samping menyediakan skim simpanan untuk pegawai-pegawai angkatan tentera dan anggota kerahan angkatan sukarela.

Sejajar dengan perubahan semasa, LTAT telah melalui fasa transformasi yang signifikan melonjakkan semula prestasi dan imejnya sebagai sebuah dana persaraan dan salah sebuah Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang setara dengan prestasi organisasi-organisasi pengurusan dana yang lain.

Antara langkah-langkah yang telah dilaksanakan melalui transformasi ini adalah dengan memperkenalkan pelbagai penambahbaikan terhadap pengukuhan tadbir urus, memulihkan serta meningkatkan pulangan pelaburan dan menambah baik mutu perkhidmatan kepada para pencarum.

Menurut Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman, transformasi LTAT telah pun bermula sejak tahun 2019 dengan melaksanakan semakan semula serta menubuhkan pelbagai rangka kerja bagi memastikan pengurusan risiko yang bersepadu dan kohesif.

NAZIM
NAZIM

Artikel Berkaitan:

Langkah itu katanya dilakukan untuk mengenalpasti, menilai, memantau serta mengurus risiko utama yang dihadapi oleh organisasi supaya operasi LTAT dijalankan secara berhemah dan penuh kebertanggungjawaban.

“Malah, LTAT buat pertama kalinya telah memperkenalkan Rangka Kerja Peruntukan Aset Strategik (SAA) pada penghujung tahun 2020 yang telah menjadi panduan untuk mengimbangi dan menstruktur semula portfolio pelaburan LTAT sedia ada.

“Pelaksanaan rangka kerja baharu itu bakal menjamin pulangan yang mampan dan konsisten kepada para pencarum yang terdiri daripada anggota ATM,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Proses transformasi itu kata Nazim diteruskan pada tahun 2021 apabila LTAT memperkenal dan melaksanakan pelbagai rangka kerja aset-aset pelaburan untuk memastikan setiap pelaburan yang dibuat berlandaskan matlamat yang telah ditetapkan dalam rangka kerja SAA bagi meminimumkan risiko kerugian dan menjamin pulangan yang terbaik.

Malah, LTAT turut peka dengan perkembangan digitalisasi dengan melancarkan aplikasi MyWIRA pada 2021 yang membolehkan para pencarum mengakses dan menyemak akaun caruman mereka secara digital di mana-mana lokasi tanpa perlu hadir ke kaunter perkhidmatan pelanggan LTAT atau mesin e-Kiosk.

Tadbir urus dan integriti

Pada masa sama, LTAT berjaya meningkatkan urus tadbir dan integriti di peringkat dalaman dengan menubuhkan Jabatan Integriti dan Jawatankuasa Integriti bagi memastikan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa tidak berlaku dan dapat dihindarkan dalam operasi harian LTAT.

Kesungguhan LTAT memperkasakan tadbir urus turut dibuktikan dengan meminda Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101) supaya dana wang caruman pencarum diuruskan dengan lebih efektif dan selamat.

Pindaan itu jelas Nazim telah diluluskan oleh Parlimen dan berkuatkuasa pada November 2022 yang mana antara penambahaikan adalah seperti penambahan anggota Panel Pelaburan dan Ahli Lembaga yang pakar serta berpengalaman untuk memastikan pelaburan yang dijalankan oleh LTAT memberi pulangan yang lebih tinggi serta mampan. Malah, antara pembaharuan yang terpenting dilaksanakan LTAT adalah peruntukan jaminan Kerajaan ke atas simpanan persaraan para pencarum.

“Pindaan ini (Akta 101) memperkukuhkan empat aspek penting kepada anggota tentera dan LTAT dari segi perlindungan ke atas wang caruman anggota tentera, meningkatkan perlindungan keselamatan sosial pencarum, memperkasakan tata kelola LTAT dan membolehkan penyusunan semula serta pengimbangan portfolio pelaburan LTAT,” katanya lagi.

Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan LTAT sepanjang proses transformasi adalah merangkumi:

- Merungkai isu legasi pelaburan besar khususnya projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS). Kabinet pada tahun 2022 telah sebulat suara meluluskan supaya pembinaan kapal ini diteruskan bagi mengelakkan implikasi kewangan yang besar kepada LTAT, Kumpulan LTAT dan vendor-vendor tempatan yang terlibat dalam pembinaan projek LCS tersebut.

- Penambahbaikan terhadap faedah pencarum turut diperkenalkan melalui pengenalan kemudahan baharu kepada pencarum iaitu Pengeluaran Haji dan Pengeluaran Pendidikan. Faedah ini membolehkan pencarum untuk menunaikan ibadah haji dan melanjutkan pelajaran mereka di peringkat yang lebih tinggi.

- Mengukuhkan lagi tadbir urus dan keyakinan awam, LTAT mengambil inisiatif membangun serta melancarkan Pelan Anti Rasuah pada awal tahun 2023 yang mampu mencegah amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta menggalakkan tadbir urus korporat yang unggul.

- LTAT turut melaksanakan pengambilalihan Kumpulan Boustead Holdings Berhad (BHB) pada tahun 2023 sebagai langkah mengimbangi semula portfolio pelaburan LTAT. Pengambilalihan itu mampu merungkai nilai komersial dan potensi sebenar BHB bagi meningkatkan aset di bawah pengurusan LTAT untuk pulangan pelaburan yang mampan.

- LTAT telah melancarkan Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN 25) sebagai hala tuju baharu lembaga itu untuk menghadapi cabaran ekonomi, melindungi kebajikan sosial para pencarum dan menjadi pemangkin transformasi ke arah matlamat menjadi kumpulan wang simpanan yang kompetitif serta mampan.

Keberhasilan transformasi

Hasil dari pelaksanaan transformasi dalam tempoh lima tahun (2019 hingga 2023) itu, LTAT telah berupaya mencatatkan prestasi yang memberangsangkan bagi setiap indikator utama kewangan meliputi kadar dividen, jumlah Aset Di bawah Pengurusan (AUM), keuntungan bersih dan keuntungan terkumpul.

Prestasi pulangan dividen mampan LTAT.
Prestasi pulangan dividen mampan LTAT.

Malah, LTAT mampu memulihkan kadar dividen kepada para pencarum pada kadar lima peratus pada tahun 2022 berbanding dua peratus pada tahun 2018.

Menurut Nazim, pendapatan bersih LTAT turut meningkat kepada RM432.5 juta pada tahun 2022 berbanding RM221.0 juta yang direkodkan pada tahun 2018.

“Manakala, keuntungan terkumpul LTAT turut berkembang kepada RM498.7 juta menjelang akhir 2022 berbanding sebanyak RM38.7 juta pada penghujung tahun 2018,” ujarnya.

Strategi masa depan

Mengekalkan rentak perkembangan positif tersebut, LTAT sedang giat melaksanakan strategi-strategi yang telah digariskan MAMPAN 25 untuk menganjak LTAT sebagai sebuah dana persaraan yang stabil serta mampan.

Strategi itu termasuk menstruktur serta menyenaraikan semula BHB. Strategi ini dijangka akan menjadi Game Changer yang akan membolehkan LTAT menjadi kompetitif.

Selain mengelakkan daripada risiko muflis, penstrukturan BHB itu mampu menyelamatkan hampir RM5 bilion dana persaraan LTAT daripada merosot di samping mengurangkan kebergantungan kepada syarikat kumpulan itu.

Pada masa sama, strategi tersebut turut memberi impak positif jangka panjang kepada LTAT melalui peningkatan kepelbagaian aset yang kini tertumpu dalam BHB di samping meningkatkan pelaburan aset mudah cair dari 20 peratus kepada sekurang-kurangnya kepada 60 peratus sekali gus membolehkan LTAT memperoleh semula RM3.3 bilion pelaburan dalam BHB.

Malah, melalui penstrukturan semua tersebut, ia mampu meningkatkan nilai aset pelaburan LTAT daripada RM10 bilion kini kepada RM15 bilion.

Selaku pemegang saham Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), LTAT juga sedang merangka pelan pemulihan kewangan Pharmaniaga untuk membolehkan syarikat ini keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) serta mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan konsesi.

Antara langkah utama yang telah diambil termasuklah rombakan pengurusan kanan melalui pelantikan barisan Exco yang terdiri daripada empat orang yang berkelayakan serta melaksanakan Pelan Regularisasi Pharmaniaga.

Langkah itu akan disusuli dengan pelaksanaan pelan perniagaan termasuk kerjasama dengan para pemain industri terkemuka untuk memperkembangkan serta melonjakkan semula prestasi kewangan Pharmaniaga.

Tanggungjawab sosial korporat

LTAT turut melaksanakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan kewangan kepada anggota, veteran. serta ahli-ahli keluarga ATM.

RAJA MOHAMED AFFANDI
RAJA MOHAMED AFFANDI

Menurut Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, antara kemudahan dan bantuan yang disalurkan meliputi Skim Faedah Kematian dan Hilang Upaya, sumbangan Hari Pahlawan dan hari raya, perumahan kepada keluarga ATM, pendidikan dan sebagainya.

“Di bawah Skim Faedah Kematian dan Hilang Upaya, ianya merupakan perlindungan automatik dalam bentuk tunai kepada semua pencarum LTAT yang diberhentikan perkhidmatan atas sebab kecacatan fizikal atau mental atau kematian semasa dalam perkhidmatan.

“Faedah ini diberikan secara percuma tanpa memerlukan sebarang caruman tambahan dari pihak pencarum. Bagi tahun 2021 dan 2022 sahaja, sebanyak RM9.1 juta telah disalurkan kepada 256 penerima yang layak di bawah skim ini,” katanya.

Selain itu, LTAT turut memberikan sokongan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyediakan perumahan kepada anggota ATM di Lembah Klang melalui pembangunan 2,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Taman LTAT di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

“RKAT ini dilengkapi dengan perabot-perabot asas untuk memastikan anggota tentera dan keluarga mereka tinggal dalam keadaan yang kondusif dan selesa. Pembangunan ini merangkumi empat blok pangsapuri 38 tingkat yang dibina di atas tanah seluas 8.194 ekar di kawasan hartanah yang pesat membangun serta dipenuhi dengan pelbagai kemudahan awam,” jelas Raja Mohamed Affandi.

Pada masa sama, kemudahan serta bantuan turut dilaksanakan oleh Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) dan Yayasan LTAT.

Menurut beliau, sepanjang tahun 2021 dan 2022, Pernama yang juga perbadanan milik penuh LTAT itu telah membiayai RM5.4 juta untuk melaksanakan program CSR bagi menjamin kesejahteraan warga ATM.

“Sementara itu pada tahun 2022, seramai lebih 8,200 anak-anak warga ATM telah menerima manfaat CSR pendidikan di bawah Yayasan LTAT dengan pembiayaan sebanyak RM1.3 juta.

“Manakala seramai lebih 2,100 penerima telah mendapat manfaat di bawah CSR kebajikan dengan sumbangan sebanyak RM2.4 juta,” katanya yang mana kesemua manfaat CSR tersebut diterima oleh anggota, anak-anak dan veteran ATM.

Melihat daripada komitmen LTAT itu, ia jelas menunjukkan kumpulan wang simpanan berkenaan sedang berada di landasan yang tepat menjadi sebuah organisasi yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.