Sultan Nazrin kurnia darjah, pingat kepada 209 penerima

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dikurniakan darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sesi kedua sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-67 di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan dikurniakan darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sesi kedua sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-67 di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada Sabtu.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Sabtu berkenan mengurniakan darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) kepada Ketua Pengurusan Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Bridgedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen.

Sultan Nazrin mengurniakan darjah itu kepada Dr Mohd Arshil pada sesi kedua Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-67 di Balairong Seri Istana Iskandariah di sini.

Dr Mohd Arshil selaku penerima darjah berkenaan pada 2020 mendahului senarai 209 penerima pingat untuk sesi ini.

Menerima darjah sama ialah, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Nor Sihimah Wahid dan Pengerusi Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Dr Rofina Yasmin Othman yang sepatutnya menerima darjah berkenaan pada 2021.

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan darjah PCM kepada 14 penerima lain antaranya Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, Mohd Ridzuan Yusof dan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan.

Bridgedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen mendahului senarai 209 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak pada Sabtu
Bridgedier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen mendahului senarai 209 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak pada Sabtu

Mengiringi keberangkatan baginda ke istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Artikel Berkaitan:

Pada istiadat itu, Sultan Nazrin turut mengurniakan Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 31 penerima termasuk dua penerima darjah sama tahun 2020 dan seorang pada 2021.

Baginda juga berkenan mengurniakan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 20 penerima, Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) kepada 42 penerima dan Pingat Pekerti Terpilih (PPT) kepada 57 penerima.

Ini diikuti pengurniaan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 31 penerima dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 11 penerima.

Pada pengurniaan itu, dua atlet negara, Mohamad Rifdean Masdor yang memegang rekod tiga kali juara dunia muaythai dan pemenang pingat gangsa acara terjun 3 meter papan anjal seirama di Sukan Asia 2022 di Hangzhou, Muhd Shafiq Puteh dianugerahkan pingat PJK.

Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan ratu 400 meter Asia Tenggara, Shereen Samson Vallabouy yang tersenarai sebagai penerima pingat sama bagaimanapun tidak dapat hadir kerana perlu meneruskan program latihan dan urusan pengajian di luar negara.

Sesi pertama istiadat pada 5 November lalu menyaksikan Mufti Perak, Datuk Seri Wan Zahidi Wan Teh mendahului senarai 24 penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Perak.

Sempena ulang tahun hari keputeraan baginda tahun ini, Sultan Nazrin telah memberi perkenan pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada seramai 238 penerima.