Sultan Nazrin berangkat rai sambutan Hari Kebangsaan di Perak

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.

Keberangkatan baginda ditemani Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim bersama dua anakanda, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dan Raja Datuk Seri Nazira Safya pada jam 8.22 pagi.

Turut berangkat Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Kecil Sulong Perak, Raja Datuk Seri Ahmad Nazim Azlan Shah Raja Ashman Shah.

Baginda diiringi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin dan barisan Exco kerajaan negeri.

Sambutan bermula dengan perarakan masuk kawalan kehormatan utama dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Division dengan iringan pasukan pancaragam KD Pelanduk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Sebahagian orang ramai yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.
Sebahagian orang ramai yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Perak di pekarangan Stadium Indera Mulia, di sini pada Khamis.

Sultan Nazrin kemudian berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja, 2 Division, Kem Sangro, Taiping.

Acara sambutan diteruskan dengan Lafaz Ikrar Hari Kebangsaan oleh 16 orang pelajar terdiri daripada Kolej Pra Universiti Seri Putera, Ipoh diketuai Mohd Safwan Azmi.

Artikel Berkaitan:

Majlis diserikan lagi dengan persembahan koir gabungan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ave Maria Convent dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dengan nyanyian tiga lagu iaitu Malaysia Madani Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, Tanggal 31 dan Jalur Gemilang.

Majlis diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 91 kontinjen yang disertai kira-kira 4,855 peserta terdiri pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, pasukan beruniform universiti awam, badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Antara kontinjen yang menyertai perbarisan adalah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk perarakan aset-aset jabatan.

Kira-kira 25,000 rakyat negeri ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum memeriahkan sambutan dengan menunjukkan semangat patriotik.