'Walaupun tidak sempurna tetapi wajib dipertahankan' - Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai terutamanya masyarakat Islam digesa supaya turun bersama-sama bagi menghadiri Himpunan Selamatkan Syariah pada Isnin ini jam 9 pagi di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, himpunan itu bertujuan bagi menyatakan ketegasan dalam mempertahankan undang-undang syariat sedia ada daripada dicabar oleh pihak-pihak tertentu.

"Kita menghadapi satu cabaran iaitu terdapat golongan yang mencabar undang-undang syariat yang telah ada.

“Walaupun yang sedia ada itu tidak sempurna tetapi menjadi sebahagian daripada kedudukan Islam yang wajib dipertahankan.

“Maka saya menyeru semua untuk sama-sama turun ke Himpunan Selamatkan Syariah pada 20 November 2023, Isnin, 9 pagi, di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Jumaat.

Sebelum ini media pada 25 Februari 2021 melaporkan, Mahkamah Persekutuan sebulat suara membenarkan Iki Putra mencabar keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 berhubung kesalahan seks luar tabii.

Sementara itu dalam cabaran terhadap peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dibuat oleh Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap kerajaan Kelantan tahun lalu, mereka juga mahu mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu terbatal dan tidak sah.

Dalam pada itu, ujar Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu, tindakan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dalam cubaan untuk menjejaskan perundangan syariah Islam merupakan satu cabaran kepada umat Islam.

Artikel Berkaitan:

“Perkara ini merupakan sebuah perkara yang tidak berani disentuh oleh British kerana berkait dengan jati diri orang Islam.

“Namun, tiba-tiba muncul orang Islam sendiri yang dipergunakan atau kerana kejahilannya mencabar beberapa akta dalam enakmen syariah.

“Menjadi fardhu ain bagi orang Islam untuk mempertahankan undang-undang syariah,” ujarnya.